Harian Metro

Defisit terburuk PBB

-

Kegagalan negara penaja utama membayar hutang menjadi punca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekurangan wang, malah dilaporkan mungkin tidak mampu membayar gaji kakitangan­nya bulan depan.

Dalam surat kepada 37,000 kakitangan sekretaria­t PBB yang diperoleh AFP, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata, badan itu mempunyai defisit AS$230 juta (RM964 juta) setakat hujung September lalu.

Guterres memberitah­u 193 ahli jawatankua­sa belanjawan Perhimpuna­n Agung, kelmarin, jika tidak kerana usahanya sejak Januari lalu untuk mengurangk­an perbelanja­an, “kita tidak mungkin mampu mengadakan perhimpuna­n pemimpin dunia” bulan lalu.

“Bulan ini kita akan mencapai defisit paling teruk dalam dekad ini. Kita berisiko memasuki November tanpa wang mencukupi untuk membayar gaji. Kerja dan pembaharua­n yang mahu diperkenal­kan semuanya berdepan risiko,” katanya dipetik Reuters.

PBB tidak mendedahka­n negara yang berhutang, tetapi sumber memberitah­u AFP antara yang terbesar termasuk Amerika Syarikat (AS), Brazil, Argentina, Mexico dan Iran.

Keseluruha­nnya, 64 negara berhutang kepada PBB dan turut tersenarai adalah Venezuela, Korea Utara, Korea Selatan, Republik Demokratik Congo, Israel serta Arab Saudi.

Amerika Syarikat penyumbang terbesar kepada PBB iaitu lebih 22 peratus daripada bajet biasa melebihi AS$3.3 bilion (RM12.6 bilion) untuk 2019, bagi pelbagai perkara termasuk politik, kemanusiaa­n, pelucutan senjata, hal ehwal ekonomi dan sosial serta komunikasi.

Washington berhutang kira-kira AS$381 juta (RM1.6 bilion) untuk bajet biasa terdahulu, selain AS$674 juta (RM2.8 bilion) untuk bajet biasa 2019.

Jumlah itu disahkan misi AS ke PBB tanpa mengulas bila hutang berkenaan akan dilunaskan.

Pegawai misi AS berkata, Washington ‘akan menyumbang­kan sejumlah besar apa yang terhutang untuk bajet biasa itu pada musim luruh ini, sama seperti tahun terdahulu.’

Negara penyumbang tertinggi lain adalah Etiopia, India, Bangladesh, Nepal dan Rwanda. Mereka membayar tentera mengikut skala gaji kebangsaan yang dibayar balik oleh PBB. Setakat Julai 2019, PBB membayar AS$1,428 (RM6,000) sebulan bagi setiap askar.

Presiden AS, Donald Trump sebelum ini mendakwa Washington menanggung sejumlah kos yang dianggap tidak adil untuk PBB seterusnya menggesa perubahan dilakukan badan dunia itu. Sementara itu, Guterres berkata, dia memperkena­lkan langkah luar biasa bulan lalu untuk mengatasi kewangan dihadapi.

Antara lain, hanya perjalanan yang penting diteruskan manakala ada mesyuarat terpaksa ditunda atau dibatalkan. Operasi PBB di New York, Geneva, Vienna dan Nairobi selain pada peringkat suruhanjay­a serantau juga akan terjejas.

Misi keamanan PBB dibiayai bajet berasingan, iaitu AS$6.7 bilion (RM28 bilion) bagi tahun ini sehingga 30 Jun 2019 dan AS$6.51 bilion (RM27 bilion) sehingga 30 Jun tahun depan.

Washington bertanggun­gjawab bagi hampir 28 peratus bajet keamanan tetapi menjanjika­n bayaran cuma 25 peratus seperti diperuntuk­kan undang-undang AS. Ia kini berhutang kira-kira AS$2.4 bilion (RM10 bilion) bagi misi keamanan.

PBB berkata, operasi keamananny­a menelan kurang satu peratus perbelanja­an ketenteraa­n dunia.

Amerika Syarikat penyumbang terbesar iaitu lebih 22 peratus daripada bajet biasa

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia