PPBB ‘hangat’
Pertambahan kategori meriahkan kejohanan
Kejayaan penganjuran Program Pembangunan Bakat Badminton (PPBB) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hasil kerjasama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) pada tahun lalu, kini diadakan lebih hebat dengan pertambahan beberapa kategori tahun ini.
Kejohanan membabitkan 11 kategori itu disertai sera mai 224 atlet berusia 9, 10, 11 dan 12 tahun yang dibentuk daripada program itu yang mempunyai keseluruhan 70 pusat pembangunan.
Program bermatlamat mencari dan memupuk bakat badminton di kalangan murid sekolah rendah dengan harapan suatu hari nanti mereka akan mewakili negara dalam sukan yang sangat dekat di hati rakyat Malaysia.
Ketua Unit Sukan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Ahmad Haridan Mohammed yang juga Setiausaha Jawatankuasa Induk Kejohanan PPBB KPM-PERODUA Peringkat Kebangsaan 2019 berkata, kejohanan bermula Rabu lalu dan perlawanan akhir berlangsung esok.
“Program pembangunan ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada semua lapisan murid dari seluruh Malaysia yang mempunyai potensi dalam sukan badminton untuk menjadi landasan ke arah pemain badminton profesional pada masa akan datang.
“Tambahan semuanya ditaja PERODUA termasuk elaun jurulatih yang terdiri daripada guru sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurutnya, juara bagi 11 kategori ini kelak turut berpeluang bertanding di peringkat antarabangsa di Jepun
bagi menentang pemain negara itu dan juga salah satu negara kuasa badminton dunia iaitu Indonesia.
“Orang ramai khususnya peminat sukan badminton dijemput hadir memenuhi Arena Badminton Perak di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi memberi sokongan kepada bakat-bakat muda ini.
“Separuh akhir bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang Sabtu (hari ini), manakala perlawanan akhir pada Ahad (esok) bermula jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari yang dihadiri Presiden
dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan), Dr Ahmad Rafee Che Kassim,” katanya.
Sementara itu, jurulatih pasukan Terengganu, Wan Ahmad Fairuz Zulkifli yang juga guru Pendidikan Jasmani dan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kemaman berkata, sejak program itu dilancarkan Februari tahun lalu, ia semakin mendapat sambutan daripada murid dan juga ibu bapa.