Percepat siasatan klip video tular
Pontian: Polis akan mempercepatkan siasatan dan tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub berhubung laporan klip video didakwa berbaur perkauman.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan
Mustafa Bakri Salleh berkata, pemimpin terbabit tidak terkecuali untuk dipanggil bergantung pada siasatan.
“Tengok pada keadaan (hasil siasatan) nanti (sama ada dipanggil atau tidak) dan ia masih dalam siasatan.
“Bagaimanapun, kita (polis) akan
mempercepatkan siasatan,” katanya ketika dihubungi bagi memperincikan laporan polis terhadap menteri terbabit.
Beliau berkata, polis menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat semua laporan yang menyalahi Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kita (polis) ada pasukan siasat di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang terbabit dengan laporan dibuat (berkaitan kempen).
“Kita akan buat siasatan (laporan polis diterima) dan akan ada pasukan khas mempercepatkan siasatan,” katanya.
Terdahulu, beliau mengulas berhubung laporan polis yang dibuat Pemuda Barisan Nasional (BN) di Ibu Pejabat Polis (IPD) Pontian, berhubung penularan klip video berkenaan.