Harian Metro

‘Buat sekalilah’

- Oleh Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my

Tertuduh ketiga kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain memaklumka­n Mahkamah Tinggi di sini, dia diarahkan seorang daripada tertuduh supaya turut serta menekap mangsa dengan seterika wap.

Muhammad Najib Mohd Razi, 23, berkata, dia bagaimanap­un tidak mengikuti arahan ketua kumpulanny­a, Abdoul Hakeem Mohd Ali yang juga tertuduh keenam kes bunuh berprofil tinggi di hadapan Hakim Datuk Azman Ahmad itu.

Ketika disoal peguam Datuk Ranjit Singh Dillon yang mewakiliny­a, Muhammad Najib berkata, ketika kejadian jam 5 pagi pada 22 Mei 2017, dia pulang ke biliknya di 4-10, blok penginapan asrama Jebat selepas tamat mengulang kaji di bilik lain (4-11).

“Apabila pulang ke bilik, saya lihat ramai penuntut lain berkumpul, namun saya tidak mengetahui tujuan mereka.

“Ketika itu, Abdoul Hakeem yang berada di dalam bilik itu dan melihat saya kemudian berkata ‘buat sekalilah’,” kata penuntut jurusan kejurutera­an itu yang kemudian turut memaklumka­n mahkamah, seorang lagi pelajar di situ menyerahka­n seterika wap kepadanya.

Menurutnya, dia kemudian memegang seterika wap itu, namun meletakkan semula di atas meja belajar dan tidak menekap pada badan mangsa seperti diarahkan Abdoul Hakeem.

“Saya terkejut apabila Zulfarhan yang tidak berbaju dan berseluar menjerit di atas lantai bilik itu,” katanya.

Sementara itu, ketika disoal Hakim Azman siapakah yang memberinya seterika wap ketika itu, tertuduh menjawab: “Saya tidak perasan, Yang Arif.”

AZMAN: Ketika kejadian, kamu perasan Zulfarhan ada di situ?

MUHAMMAD NAJIB : Saya perasan ketika dia menjerit.

AZMAN: Dari segi visual, kamu nampak dia (Zulfarhan) ada di situ?

MUHAMMAD NAJIB: Ya, saya nampak, Yang Arif.

AZMAN: Kamu perasan tak keadaannya?

MUHAMMAD NAJIB: Dia berada di atas lantai. AZMAN: Bukan di kerusi? MUHAMMAD NAJIB: Bukan.

AZMAN: Perasan atau tidak dia diikat atau sebagainya?

MUHAMMAD NAJIB: Tidak perasan.

AZMAN: Jadi mengikut keterangan kamu tidak buat (menekap mangsa dengan seterika wap) langsung dan tertuduh pertama dan tertuduh kedua masing-masing melakukan dua kali?

MUHAMMAD NAJIB: Ya, itu yang saya dengar.

Dalam prosiding sama, tertuduh yang juga anak sulung daripada enam beradik tidak mengetahui saksi pendakwaan ke-24, Ahmad Senabil Mohamad membuat satu laporan polis berhubung bapanya yang mengugut supaya mengubah kenyataan dan tidak bercakap benar mengenai kejadian itu.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim

mengenai tindakan ugut dilakukan bapa tertuduh yang juga anggota polis berpangkat sarjan dan bertugas di Ipoh, Perak, Muhammad Najib berkata, “Saya tidak tahu.”

Terdahulu, Muhammad Najib juga menafikan dia membuat fitnah dan berdendam terhadap Abdoul Hakim berhubung keterangan­nya ketika dia disoal peguam Zambri Idrus yang mewakili tertuduh keenam itu.

ZAMBRI: Saya katakan keterangan kamu mengenai Abdoul Hakeem adalah rekaan semata-mata?

MUHAMMAD NAJIB: Tak setuju.

ZAMBRI: Setuju keterangan kamu terhadap Abdoul Hakeem adalah sesuatu yang difikirkan kemudian?

MUHAMMAD NAJIB: Tak setuju.

ZAMBRI: Sebagai anak polis, kamu malu dengan apa yang berlaku ke atas kamu?

MUHAMMAD NAJIB: Tidak.

ZAMBRI: Disebabkan malu, kamu pindahkann­ya kepada Abdoul Hakeem?

MUHAMMAD NAJIB: Tak setuju.

 ??  ?? BAPA Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idris (kanan) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
BAPA Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idris (kanan) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia