Ketam bulu dalam bagasi
Pasangan suami isteri warga China cuba bawa masuk hidupan laut tanpa permit
Taktik suami isteri warga China membawa 20 ketam bulu yang disorok dalam kotak ais tidak berhasil apabila ditahan anggota Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini, Selasa lalu.
Pengarah Maqis Kelantan, Mohd Azam Yahya berkata, dalam pemeriksaan jam 5.50 petang, pihaknya mendapati kotak ais berisi ketam seberat lima kilogram dengan harga RM300 itu dimasukkan ke dalam dua bagasi berasingan.
Katanya, ketam itu dibawa dari China untuk kegunaan sendiri, namun tiada dokumen sah termasuk permit import dikeluarkan Maqis dan sijil kesihatan dari negara asal.
“Ketam itu dirampas dan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Tindakan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian tanpa permit import sah daripada Maqis adalah kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 11(3) akta sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih
RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan, semalam.