Aimi tak rela lepas peluang kedua ke Filipina
Kuala Lumpur: Atlet triathlon negara, Aimi Iwasaki Muhammad Maritoh bertekad tidak mensia-sia peluang kedua yang diberi untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA Filipina.
Dua tahun lalu, dia terpaksa menjadi penonton temasya dwitahunan itu akibat cedera di lutut kiri selepas terpilih dalam skuad berbasikal kebangsaan.
“Jujurnya, banyak halangan daripada segi persiapan kerana sebelum ini saya pernah mewakili negara dalam acara berbasikal. Tapi akibat kecederaan sebelum Sukan SEA, saya berhenti dua tahun. Jadi untuk bangkit semula adalah sangat mencabar mental dan fizikal.
“Kali ini saya cuba buat apa saja yang terbaik agar tidak menyesal,” katanya ditemui pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, dia berjaya menamatkan pengajian ijazah dalam seni penyediaan makanan.
Aimi Iwasaki, 24, yang berdarah campuran Jepun dari sebelah ayahnya berkata, dia mula aktif dalam sukan triathlon sejak akhir tahun lalu.
Antara pencapaian terbaiknya adalah meraih tempat kedua acara triathlon jarak Olimpik di Kejohanan Triathlon Antarabangsa Singapura bulan lalu dan di Kejohanan Triathlon Antarabangsa Port Dickson.
“Masa aktif berbasikal dulu saya ada cuba sukan ini, tapi secara suka-suka saja. Ia terbahagi kepada tiga disiplin (berlari, berenang, berbasikal). Ia memerlukan latihan seimbang bagi memantapkan diri dalam setiap disiplin dan tidak boleh terlebih mana-mana acara.
“Saya yakin pasukan kami agak kuat dan bekerjasama dengan baik. Semoga sasaran kami tercapai di Sukan
SEA kali ini,” katanya yang berasal dari Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengurus Pasukan, Ungku Azhar Ungku Mohd Maznan berpuas hati dengan latihan dijalani 12 atlet ke Sukan SEA.
Katanya, 11 daripada mereka pertama kali mewakili negara ke Sukan SEA sambil menjadikan Filipina, Indonesia serta Singapura antara pencabar terkuat.
“Bagi triathlon lelaki, kami menyasarkan kedudukan enam terbaik manakala wanita, empat terbaik. Untuk duathlon lelaki dan perempuan di kedudukan empat terbaik manakala campuran relay, lelaki dan wanita (tiga terbaik),” katanya.