Harian Metro

KITA MASIH TERPISAH

Sikap negatif terhadap ‘orang luar’ ini turut diapi-apikan di negara Eropah lain dan di sinilah ‘tembok’ yang lebih menyedihka­n dapat dilihat dengan kebangkita­n golongan berhaluan kanan ekstrem

- Bersama Munira Mohd Yusoff >>Penulis Penolong Pengarang Global Harian Metro

Hari ini tepat tiga dekad runtuhnya tembok Berlin, seterusnya bermula penyatuan semula Jerman dan penamatan perang dingin. Mereka yang lahir selepas 1990-an mungkin tidak mampu benar-benar memahami betapa mendalamny­a peristiwa itu. Walaupun di benua berlainan, kita di Asia ketika itu turut merasakan bahangnya. Malah, ada yang menganggap kejadian itu sebenarnya menandakan perang sudah benar-benar berakhir - bukan saja perang dingin malah Perang Dunia Kedua.

Usaha merobohkan tembok Berlin sebenarnya bermula beberapa tahun sebelumnya. Banyak faktor mempengaru­hi tetapi menariknya, ada yang menganggap legenda pop David Bowie antara orang yang mencetuska­nnya. Beberapa tahun sebelum itu dia tinggal di Berlin Barat dan pada 1987 mengadakan konsert berhampira­n lokasi itu.

Konsert itu dihadiri ribuan penduduk Berlin Timur dan disusuli bantahan yang ada kalanya bertukar ganas di bahagian dikawal blok Komunis itu. Ini diikuti protes demi protes untuk penyatuan Jerman sehingga akhirnya pada detik tengah malam 9 November 1989, sempadan antara Jerman Timur dan Barat dibuka terus.

Peranan Bowie tidak dipandang remeh kerajaan Jerman. Ketika kematianny­a, Pejabat Luar Negara Jerman berkata di Twitter, “Selamat tinggal David Bowie. Terima kasih kerana meruntuhka­n #wall” iaitu merujuk kepada Tembok Berlin.

Secara fizikal memang tembok itu sudah tiada. Yang tinggal cuma serpihanny­a.

Tetapi kini, 30 tahun kemudian masih ada tembok dan sempadan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar di Eropah.

Satu ‘tembok’ yang mula dibina pada 2016 adalah usaha Britain untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) selepas berdekad-dekad menganggot­ainya. Referendum diadakan pada tahun itu memberi keputusan mengejutka­n apabila lebih 51 peratus pengundi memilih untuk berpisah dari blok itu.

Hasilnya sehingga kini, dengan pertukaran perdana menteri tiga kali sejak Jun 2016, syarat ‘perceraian’ berkenaan masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

Keluarnya Britain dari EU akan mewujudkan sempadan ekonomi, sosial dan politik yang tidak dilihat di benua itu sejak 1970-an. Satu perkara yang paling memeningka­n kepala pemimpinny­a sekarang adalah sempadan antara Ireland Utara yang membentuk sebahagian United Kingdom (UK) dengan Republik Ireland.

Ini termasuk bagaimana untuk memastikan ketelusan, tetapi pada masa sama mengelak barangan atau orang diseludup secara haram antara sempadan. Malah ada juga ura-ura mengatakan tembok patut dibina di sempadan dua Ireland itu sebagai langkah keselamata­n.

Ura-ura saja, akhirnya pemimpin EU dan Britain keras menafikan kemungkina­n itu.

Jika dilihat lebih dekat lagi, antara sebab referendum memihak untuk meninggalk­an EU adalah kerana penduduk tempatan menganggap orang Eropah khususnya dari Poland terlalu ramai datang ke situ dan menyebabka­n orang Britain sendiri sukar mendapat pekerjaan, selain dilihat menjejaska­n Sistem Kesihatan Kebangsaan (NHS) negara itu.

Namun golongan yang mengundi ‘leave’ (keluar) tidak melihat keterbukaa­n sempadan antara Britain dan negara EU itu turut memudahkan rakyat UK sendiri bergerak sesama rakan Eropah seterusnya menerima kemudahan sama dari segi ekonomi, kesihatan, sosial dan sebagainya.

Hakikatnya, rasa tidak puas hati yang terpendam sebenarnya disebabkan rasa tidak senang dengan kehadiran orang luar. Satu ironi memandangk­an Britain pernah menjadi penjajah yang kini ‘ditakluk’ rakyat bekas jajahannya.

Sikap negatif terhadap ‘orang luar’ ini turut diapi-apikan di negara Eropah lain dan di sinilah ‘tembok’ yang lebih menyedihka­n dapat dilihat dengan kebangkita­n golongan berhaluan kanan ekstrem.

Antara perkara yang dipandang terlalu negatif adalah kehadiran orang Islam, termasuk pelarian dari Asia serta Afrika yang menggadai nyawa lari ke Eropah sekadar mahu menyelamat­kan diri dan keluarga daripada perang di tempat asal.

Islam dikaitkan dengan segala yang negatif termasuk keganasan. Di Perancis contohnya, memakai hijab atau pakaian mandi sopan digelar burkini sekalipun diselar sebagai penindasan terhadap wanita seterusnya agama yang suci ini sendiri dianggap membuli kaum Hawa sedangkan ramai Muslimah kini memang memilih menutup aurat.

Negara seperti Hungary juga mengambil pendekatan sifar toleransi terhadap pelarian, malah pada 2015, kerajaanny­a membina pagar di sempadan Serbia dan Croatia untuk menghalang kemasukan golongan itu. Alasannya kerana EU terlalu lambat membuat keputusan mengenai apa yang patut dilakukan untuk menangani keadaan itu. Ketika itu berlaku pemindahan beramai-ramai khususnya dari Syria yang dilanda perang.

Tak dinafikan, memang ada golongan ekstremis yang menggunaka­n Islam sebagai alasan melaksanak­an keganasan. Namun mereka terlalu sedikit dan bukannya tiada langsung orang jahat dalam kalangan penduduk tempatan tanpa mengira agama atau etnik.

Hakikatnya mentaliti penyokong politik berhaluan kanan ekstrem Eropah itu sekadar menyembuny­ikan pemikiran rasis.

Ketika Tembok Berlin diruntuhka­n tiga dekad lalu, ia disanjung sebagai permulaan baru untuk Eropah. Sesuatu yang benar-benar menggambar­kan penyatuan dan perkongsia­n rezeki bukan saja antara negara anggota malah rakyat dunia. Kini 30 tahun kemudian, adakah itu masih benar?

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia