Denda RM4,000 kerana ugut ibu

Harian Metro - - Lokal -

Miri: Seorang remaja lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, kelmarin, atas dua pertuduhan mengugut ibunya dengan memecah tingkap dan merosakkan pintu rumah keluargany­a pada 3 November lalu.

Tertuduh, Cantona Henry, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Eleanor Mako Timothy.

Majistret turut menetapkan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap Mary Ajan, 50, dengan cara memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah dengan niat menakutkan ibunya.

Dalam tuduhan kedua, tertuduh didapati melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap dan merosakkan pintu rumah milik Mary Ajan menggunaka­n batu bata sehingga menyebabka­n kerugian RM300.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 12.30 pagi pada 3 November lalu di rumah keluargany­a di Taman Permy Bandar Baru Permyjaya di sini.

Tertuduh merayu hukuman ringan dan menyesal atas perbuatann­ya itu.

Katanya, ketika kejadian dia yang dalam keadaan mabuk dikunci di luar oleh ibunya kerana balik lewat.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.