Tiga kebas peti besi

Harian Metro - - Lokal -

Kota Kinabalu: Sebuah peti besi milik syarikat peminjam wang berlesen yang berisi wang tunai dan pelbagai dokumen penting berjaya dilarikan tiga penjenayah dalam kejadian di Jalan Segama, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian hanya disedari pemilik syarikat berkenaan selepas sistem penggera yang bersambung dengan telefon bimbit miliknya berbunyi jam 4.30 pagi semalam.

Difahamkan, pemilik terbabit yang melihat insiden menerusi telefon bimbitnya mendapati premis miliknya dipecah masuk tiga lelaki tidak dikenali sebelum terus melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebaik menerima maklumat itu, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaa­n dan siasatan.

Katanya, hasil pemeriksaa­n mendapati kumpulan suspek terbabit memecah masuk premis berkenaan dengan mengumpil dan merosakkan mangga premis serta pintu besi hadapan.

“Pemeriksaa­n lanjut melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek masuk ke dalam premis dan mengangkat peti besi yang berisi dokumen pinjaman milik pelanggan dan wang tunai RM1,000.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan selepas pemeriksaa­n secara menyeluruh di lokasi kejadian selesai dilakukan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Habibi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk premis.

HABIBI

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.