Harian Metro

AIR MATA DI PUSARA IBU

Nenek tular gambar cucu buka keputusan UPSR di kubur sekadar beri sokongan

- Oleh Nur Izzati Mohamad am@hmetro.com.my

Saya tahu niat nenek muat naik gambar kerana mahu menyokong termasuk gembirakan saya”

Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus

“Saya tidak ada niat untuk viral kisah mengenai keputusan diperoleh cucu, ia hanya mahu dijadikan kenangan,” kata bekas guru, Aishah Mat Akat, 64.

Aishah memuat naik foto cucu perempuann­ya, Nur Aqilah Afiah Mohamad Firdaus, 12, yang membuka keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di pusara ibunya hingga tular di laman sosial.

Dalam foto itu, Nur Aqilah menangis apabila tidak dapat berkongsi keputusan bersama arwah ibunya yang meninggal dunia dua tahun lalu selepas melahirkan adik bongsunya.

Menurut Aishah, walaupun keputusan Nur Aqilah tidak seberapa, apa yang dilakukan itu hanya untuk memberi sokongan termasuk menggembir­akan cucunya.

“Nur Aqilah ada beritahu saya dia mahu ke kubur ibunya sebaik menerima keputusan UPSR dan semalam (kelmarin) dia terus meminta saya membawanya.

“Sayu hati melihat dia dalam keadaan menangis di depan pusara ibunya. Tidak semena-mena saya mengambil gambar sebelum memuat naik di laman Facebook serta Instagram untuk kenangan.

“Tetapi, tidak sangka pula tular dan menjadi bualan hangat warganet. Saya terharu dengan keprihatin­an mereka termasuk yang mendoakan Nur Aqilah serta arwah anak perempuan saya,” katanya.

Nur Aqilah adalah anak sulung daripada tiga beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Kandu.

Sementara itu, Nur Aqilah berkata, dia pada mulanya berasa malu selepas kisahnya tular dan menjadi bualan rakan serta gurunya di sekolah.

“Saya tahu niat nenek muat naik gambar kerana mahu menyokong termasuk gembirakan saya.

“Pada mulanya saya malu selepas orang tahu kisah saya, tetapi saya berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kata-kata semangat untuk perjuangan saya seterusnya.

“Walaupun keputusan UPSR tidak cemerlang, bagi saya ini permulaan untuk saya buat lebih baik pada masa depan,” katanya.

 ??  ?? NUR Aqilah Afiah menziarahi kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Kandu, Bukit Mertajam.
NUR Aqilah Afiah menziarahi kubur ibunya di Tanah Perkuburan Islam Permatang Tok Kandu, Bukit Mertajam.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia