Harian Metro

Liverpool sambung misi cipta sejarah

-

Liverpool: Liverpool akan memulakan saingan padat 13 perlawanan dalam 41 hari di Crystal Palace malam ini yang akan menentukan musim mereka dan bagaimana era Jurgen Klopp akan diingati di Anfield.

Kehebatan dan kontrovers­i ketika menewaskan juara bertahan, Manchester City, 3-1 sebelum rehat perlawanan antarabang­sa meletakkan Liverpool mendahului sembilan mata di depan barisan kendalian Pep Guardiola.

Mereka memegang kelebihan lapan mata mengatasi pasukan tangga kedua, Leicester dan menjadi pilihan utama mencari gelaran liga selepas penantian 30 tahun.

Kunjungan ke Selhurst Park juga adalah permulaan lima saingan liga berdepan pencabar yang dilihat atas kertas tidak mampu memberikan saingan kuat buat pasukan yang hanya melepaskan dua mata liga sepanjang musim ini – selepas seri 1-1 dengan Manchester United.

Namun, Liverpool yang perlu bermain di luar liga mencetuska­n minat serta spekulasi pemerhati beberapa minggu akan datang.

Pembabitan dalam Piala Dunia Kelab FIFA di Qatar, serta Piala Liga bermakna Klopp perlu bermain dua perlawanan dalam tempoh 24 jam yang dipisahkan jarak 6,400 kilometer.

Liverpool akan ke Aston Villa pada 17 Disember pada suku akhir sebelum bermain di Timur Tengah pada 18 Disember dengan Klopp perlu menyediaka­n dua skuad berbeza bagi mengharung­inya.

Beberapa pengkritik diketuai bekas pemain utama di Anfield, Jamie Carragher berkata Klopp sepatutnya mengetepik­an empat saingan piala yang turut membabitka­n pasukan itu musim ini - dua piala domestik, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia Kelab.

“Saya tahu ramai penyokong Liverpool yang akan memperkata­kan ini dan sudah pasti kelab berkenaan tidak mampu, namun lebih bermakna jika Liverpool memperoleh kejuaraan Liga Perdana.” -AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia