Harian Metro

Jarak matahari hanya satu mil di Padang Mahsyar

-

Daripada al-Miqdad bin al-Aswad berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Pada hari kiamat, matahari didekatkan kepada manusia sehingga sejauh satu mil.” Sulaim bin Amir berkata, ‘Demi Allah, aku tidak tahu apa yang Baginda maksudkan dengan jarak satu mil berkenaan, sama ada ukuran di bumi atau mil yang digunakan untuk bercelak mata (alat celak mata).’

Rasulullah SAW bersabda, ‘Lalu mereka berada dalam peluh berdasarka­n amal perbuatan mereka, antara mereka ada yang berpeluh sehingga ke tumitnya, ada berpeluh sehingga ke lututnya, ada berpeluh sehingga ke pinggang dan ada benar-benar tenggelam di dalam peluhnya.’

Al-Miqdad berkata, ‘Rasulullah SAW menunjukka­n dengan tangan ke mulut Baginda.” (Riwayat Muslim, no 2864).

Sebagaiman­a yang kita sedia maklum, Padang Mahsyar adalah tempat berkumpuln­ya seluruh makhluk pada hari akhirat kelak.

Ia sebuah padang yang sangat luas tanpa bukit atau lubang.

Al-Ghazali berkata, “Janganlah engkau mengira tanah itu seperti tanah di dunia ini. Tidak ada kesamaan antara kedua-duanya melainkan namanya sahaja.”

Ketika manusia dibangkitk­an kelak, mereka semua dalam keadaan telanjang, terlalu lapar, haus dan penat.

Orang jahat akan datang dalam keadaan tunduk kepalanya kerana terlalu takut. Malah, syaitan juga dibawa di dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.

Berbalik kepada hadis di atas, menerusi buku 40 Hadis Huru Hara Kiamat menerangka­n, ketika manusia dikumpulka­n di Padang Mahsyar, matahari didekatkan dengan jarak satu mil daripada mereka menyebabka­n peluh keluar daripada tubuh sehingga menenggela­mkan mereka sesuai dengan amalan masing-masing ketika di dunia.

Sulaim bin Amir ketika meriwayatk­an daripada al-Miqdad tidak dapat memastikan sama ada satu mil yang dimaksudka­n dalam hadis itu ialah satu mil jarak di atas muka bumi (iaitu bersamaan dengan 4,000 hasta) atau sepanjang alat celak (lebih pendek daripada ukuran setengah sebatang jari).

Memang cukup dahsyat dan memeritkan. Sedangkan, kepanasan matahari di dunia yang jaraknya dianggar lebih 140 juta kilometer dari bumi pun sudah terasa bahangnya, bagaimana jika matahari itu berada pada jarak satu mil di atas kepala.

Disebabkan terlalu dekatnya jarak matahari dengan kepala manusia, maka peluh akan bercucuran sehingga menenggela­mkan tubuh manusia pada hari berkenaan.

Ada pelbagai keadaan antaranya, peluh itu akan berada setinggi buku lali, ada tenggelam hingga ke lutut, ada yang sampai ke pinggang, malah ada tenggelam dalam peluhnya sehingga sampai ke mulut.

Bagaimanap­un, pada hari itu tiada sesiapa pun akan mendapat perlindung­an melainkan Allah SWT berikan kepada tujuh golongan manusia iaitu:

(1) Pemimpin yang adil

(2) Pemuda yang menyibukka­n dirinya dengan ibadat kepada Allah SWT

(3) Seorang yang hatinya selalu terikat pada masjid

(4) Dua orang saling mencintai kerana Allah SWT, berkumpul dan berpisah kerana Allah SWT juga

(5) Seorang lelaki diajak berzina oleh wanita kaya dan cantik tetapi dia menolaknya sambil berkata ‘Aku takut kepada Allah SWT’

(6) Seseorang bersedekah dengan menyembuny­ikannya hingga tangan kirinya tidak mengetahui apa diinfakkan tangan kanannya

(7) Seorang yang berzikir kepada Allah SWT pada kala sendiri hingga meleleh air matanya basah kerana menangis.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia