Harian Metro

Luqman akui persembaha­n tak konsisten

-

Kuala Lumpur: Sedih, kecewa dan tidak berpuas hati, perasaan yang ada dalam diri penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin terutama selepas tidak berjaya membantu skuad bawah 22 tahun (B-22) negara melepasi peringkat kumpulan Sukan Sea Filipina 2019.

Bagaimanap­un, Luqman tetap berterima kasih kepada jurulatih, Datuk Ong Kim Swee kerana memberi peluang buatnya beraksi di temasya berkenaan.

“Saya memperoleh pengalaman baharu di Sukan Sea dan gembira dengan tunjuk ajar barisan jurulatih serta pemain senior. Ia sangat menakjubka­n. Bagaimanap­un, untuk diri saya sendiri, masih ada kekurangan,” katanya ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA), malam kelmarin.

Luqman tidak berpuas hati kerana sepanjang diberikan peluang beraksi permainann­ya tidak konsisten.

“Apa yang saya lakukan ada sedikit turun dan naik. Bagaimanap­un, pengalaman bersama barisan kejurulati­han dan pemain sangat baik, kerana mereka memberi semangat ketika saya kecewa.

“Jika diberi peluang untuk beraksi bersama skuad ini, saya akan lebih fokus dan memberikan permainan lebih baik,” katanya yang akan memulakan latihan bersama Cardiff City 2 Januari depan.

Pemain berusia 17 tahun ini mengakui Sukan Sea adalah platform terbaik untuknya mempersiap­kan diri sebelum menyambung latihan di Cardiff.

Ditanya adakah dia bersedia untuk ke peringkat lebih tinggi (pasukan senior), Luqman berkata, dia mahu fokus satu peringkat ke satu peringkat terlebih dulu.

“Saya mahu bermula dari bawah, kemudian naik secara perlahan-lahan. Saya harus bersabar dan rezeki ini akan datang kemudian. Mungkin lagi dua tahun akan ada rezeki saya dengan pasukan senior.

“Sekarang fokus kami adalah untuk kelayakan Kejohanan AFC B-23 tahun depan,” katanya.

 ??  ?? LUQMAN
LUQMAN

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia