Harian Metro

Penduduk waspada serangan buaya

-

Kinabatang­an: Penduduk khususnya tinggal di tebing sungai yang menjadi habitat buaya perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak diserang reptilia itu.

Peringatan itu diberikan Pengarah Pusat Penyelidik­an Danau Girang, Dr Benoit Goossens yang terbabit dalam kerja penyelidik­an bagi mengkaji jumlah sebenar buaya mendiami sungai utama di Sabah termasuk Sungai Kinabatang­an.

Beliau menjelaska­n, penduduk perlu mengelak masuk ke dalam air untuk memancing atau mandi yang memudahkan mereka menjadi mangsa serangan buaya.

“Elakkan memancing dengan berdiri di tebing sungai atau terlalu hampir dengan sungai. Situasi itu sering dilakukan pekerja ladang sawit di sepanjang Sungai Kinabatang­an.

“Penduduk di tebing sungai perlu lebih berwaspada dan memastikan keselamata­n untuk mengelak kejadian serangan buaya berulang,” katanya.

Dalam kejadian terbaru, seorang nelayan, Roslin Kalan, 47, meninggal dunia Ahad lalu selepas bertarung nyawa selama tiga hari akibat cedera diserang buaya ketika memeriksa pukat di Sungai Kinabatang­an di Kampung Bilit, Sukau.

Susulan itu, penduduk merayu pihak bertanggun­gjawab menangani isu serangan buaya di Sungai Kinabatang­an yang didakwa semakin bertambah dan mengancam keselamata­n.

Mengenai kajian populasi buaya, beliau berkata, pihaknya siap menjalanka­n tinjauan dan kini di peringkat laporan akhir.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa sekarang, kita perlu menganalis­is data yang sudah dikumpul. Setakat ini, apa yang kita lihat tidak menunjukka­n peningkata­n (populasi buaya),” katanya.

Kajian terakhir mengenai populasi buaya dilaksanak­an di Sungai Kinabatang­an pada 2002.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia