Harian Metro

GOL FUTSAL CARA BARU

Aksi luar biasa penuntut UTM sepak masuk ke jaring bola keranjang tular hingga ke FIFA

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

“Semuanya berlaku secara kebetulan dan saya tidak sangka sepakan dilakukan menyebabka­n bola melantun masuk ke jaring bola keranjang,” kata Azkiyyah Wahida Dzulkifli, penuntut tahun empat Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an Bioperubat­an Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor.

Azkiyyah, 22, memberi reaksi itu ketika diminta mengulas mengenai video sepakan luar biasanya yang tular di laman sosial.

Menerusi video berdurasi sembilan saat, Azkiyyah dilihat menjaringk­an gol ke dalam jaring bola keranjang ketika bermain futsal bersama sekumpulan pemain lain.

Selain warganet, jaringan berkenaan mendapat perhatian bintang bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) Hope Solo yang mengulang ciap video berkenaan di Twitter miliknya dengan ciapan ‘Pendekatan sukar di pintu gol. Saya tidak dapat menghentik­annya’.

Bercerita lanjut, Azkiyyah berkata, sepakan itu dilakukan tanpa sengaja sewaktu cubaan menjaringk­an gol ketika perlawanan futsal sempena hari sukan di kampus pada 29 November lalu.

Manakala, video berkenaan dirakam pensyarah kanan Dr Nur Fadilah Darmansah, 32, yang berada berhampira­n gelanggang perlawanan.

“Saya bukanlah aktif bermain futsal, tetapi kebetulan mengambil bahagian dalam perlawanan liga futsal sempena hari sukan anjuran Sekolah Kejurutera­an Bioperubat­an dan Sains Kesihatan.

“Selepas mendapat bola, saya melakukan sepakan ke pintu gol tetapi lain pula jadinya apabila ia melantun masuk ke jaring bola keranjang.

“Keadaan itu membuatkan saya dan semua pemain lain tergelak kerana menganggap perkara itu melucukan,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Anak keempat daripada lapan beradik itu berkata, dia ada menerima kiriman video menerusi aplikasi Whatsapp selepas perlawanan berakhir.

Namun, Azkiyyah tidak menyangka video itu mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Persekutua­n

Bolasepak Antarabang­sa (FIFA) Wanita dan penjaga gol AS, Hope Solo.

“Setiap kali perlawanan pasti ada di antara kami yang akan merakam video untuk ditonton semula selepas tamat permainan.

“Cuma video permainan kali ini menjadi tular selepas dikongsi pensyarah di Twitter,” katanya.

Sementara itu, Nur Fadilah berkata, video berkenaan dimuat naik dengan tujuan berkongsi detik ketika jaringan luar biasa itu dengan pengikut di Twitter.

“Kebetulan, sepakan itu dibuat ketika saya merakam permainan berkenaan dan tidak lama selepas memuat naik video di Twitter, ramai memberi komen menyatakan mereka kagum dengan jaringan dilakukan,” katanya.

 ??  ?? BOLA yang disepak Azkiyyah melantun masuk ke jaring bola keranjang.
BOLA yang disepak Azkiyyah melantun masuk ke jaring bola keranjang.
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia