Harian Metro

FAM perlu cari penyelesai­an terbaik

-

Manila: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (gambar) mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari penyelesai­an terbaik bagi mengatasi pencapaian buruk skuad bawah 22 (B-22) tahun negara yang gagal melepasi peringkat kumpulan Sukan Sea kali ini.

Jelas Menteri Belia dan Sukan itu, pihaknya akan meneliti laporan bedah siasat yang akan diserahkan oleh FAM kepada pihaknya sebaik berakhir temasya dwitahunan ini.

Katanya, laporan berkenaan penting bagi mencari punca prestasi longlai anak buah Datuk Ong Kim Swee yang sekadar merakam satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam empat aksi.

“Saya rasa perkara paling penting adalah untuk menunggu bedah siasat menyeluruh yang akan kita dapat dan kita akan lihat bagaiamana kita ingin memastikan bahawa perkara sebegini takkan berulang lagi dan prestasi dapat ditambah baik.

“Buat masa ini, kita bagi masa kepada FAM dan pemain bola sepak kita berehat, dan paling mustahak daripada peringkat kita untuk memastikan bedah siasat menyeluruh itu dapat kita buat secepat mungkin,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Skuad bola sepak yang hadir ke Filipina atas tiket kategori ‘A’ yang ditampung sepenuhnya oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) gagal mencapai sasaran untuk layak ke pentas final.

Mengulas mengenai pungutan pingat emas kontinjen negara setakat ini, Saddiq yakin sasaran 70 emas itu yang ditetapkan sebelum ini mampu dicapai sebelum upacara penutup Sukan Sea Rabu ini.

“Kita kena lakukan terbaik walaupun ada pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi oleh atlet.

"Kita tak boleh pandang mudah tetapi kena teruskan berjuang dalam beberapa hari saja yang tinggal ini bagi memastikan sasaran 70 pingat emas itu mampu dicapai," katanya.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia