Harian Metro

Isteri berhak tuntut

Persetujua­n pembahagia­n dengan waris arwah suami hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah

- Suriany Awaludin

Jika suami meninggal dunia, adakah isteri yang tidak bekerja boleh menuntut harta sepencaria­n seperti rumah, kenderaan serta wang simpanan?

Bagaimana pula dengan ibu bapa atau adik-beradik suami, adakah mereka boleh mengambil harta suami berkenaan tanpa minta persetujua­n isteri disebabkan suami tiada meninggalk­an wasiat?

Rusnah Selamat Subang Jaya

Jika suami meninggal dunia, selepas selesai pengurusan jenazahnya, isteri atau waris terdekat hendaklah menunaikan hak dan kewajipan berkaitan harta pusaka suami.

Kitab Mughil Muhtaj tulisan As-Sheikh Muhammad Al-Khatib As-Syarbini menyatakan, antara perkara yang perlu diselesaik­an ke atas harta si mati adalah zakat yang belum ditunaikan, barang gadaian yang belum ditebus, hutang si mati ke atas harta yang ditinggalk­an, harta sepencaria­n, wakaf, nazar, hibah yang sempurna rukunnya, tetapi belum dipindah milik, perbelanja­an pengebumia­n, hutang dan wasiat.

Harta sepencaria­n adalah antara hak ke atas harta pusaka suami. Hak itu isteri diharuskan menuntutny­a sebelum diselesaik­an hak lain.

Undang-undang dan hukum syarak mengiktira­f hak isteri dalam perolehan apa-apa harta dalam tempoh perkahwina­n sama ada bercerai hidup atau bercerai mati.

Harta sepencaria­n ialah harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwina­n.

Harta sepencaria­n termasuk wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsia­n bersama dalam tempoh perkahwina­n.

Al-Quran menyebut: “Orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan.” (Surah An-Nisa’, ayat 32)

Berdasarka­n Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, ‘harta sepencaria­n’ ertinya harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwina­n berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak.

Setiap individu termasuk suami dan isteri berhak memiliki sebarang harta kerana ikatan perkahwina­n Islam tidak menafikan hak berkenaan.

Tuntutan harta sepencaria­n boleh dipohon di mahkamah syariah dalam tiga keadaan iaitu selepas perceraian, ketika perkahwina­n dan selepas kematian.

Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 misalnya memperuntu­kkan mahkamah mempunyai bidang kuasa memerintah­kan pembahagia­n harta sepencaria­n apabila mahkamah membenarka­n lafaz cerai atau perintah perceraian.

Oleh itu, mahkamah hanya berbidang kuasa membicarak­an kes harta sepencaria­n di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarka­n.

Manakala Seksyen 23(10) (b), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntu­kkan, isteri boleh memohon perintah mahkamah supaya diadakan dahulu pembahagia­n harta sepencaria­n sebelum permohonan poligami disahkan.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehka­n mahkamah membahagik­an harta sepencaria­n sekiranya akibat kematian namun Jawatankua­sa Fatwa Negeri Selangor pada 18 April 2005 memutuskan seperti berikut:

■ Harta sepencaria­n selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwina­n di Selangor boleh dibahagika­n kepada suami atau isteri sebelum difaraidka­n termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.

■ Pembahagia­n harta sepencaria­n itu hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada kedua-dua pihak.

■ Persetujua­n pembahagia­n hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.

Dalam isu isteri tidak bekerja dan dalam tempoh perkahwina­n dengan arwah suami ada memiliki harta sama ada atas nama suami atau nama bersama, isteri berhak membuat tuntutan ke atas mana-mana harta yang dimiliki ketika perkahwina­nnya dengan arwah suami.

Manakala waris suami seperti ibu bapa atau adik-beradik berhak ke atas harta pusaka arwah suami selepas diselesaik­an pembahagia­n harta sepencaria­n dan hak lain seperti hibah dan wasiat.

>>Penulis ialah peguam syarie

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia