Harian Metro

Tarik balik cabar kesahihan pelantikan peguam LHDN

-

Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menarik semula permohonan­nya untuk mencabar kesahihan pelantikan Datuk D P Naban sebagai peguam mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam saman menuntut cukai pendapatan RM1.69 bilion daripadany­a.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib berkata demikian ketika ditemui selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache, di sini.

Menurutnya, mereka menarik kembali permohonan itu selepas pihak kerajaan bersetuju untuk mendedahka­n surat pelantikan Naban yang dibuat mengikut Seksyen 24 (3), Akta Prosiding Kerajaan 1956.

“Selepas melihat surat yang diterima pada 11 Disember lalu, kami mendapati tiada sebarang isu berbangkit berhubung pelantikan­nya.

“Kerajaan memutuskan untuk menyerahka­n surat pelantikan itu kepada kami secara suka rela dan selepas melihat tiada sebarang isu, kami menarik kembali permohonan itu,” katanya.

Muhammad Farhan berkata, mahkamah sudah menetapkan 7 Januari tahun depan untuk pengurusan kes.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83, faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakima­n sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan berkata bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, defendan telah ditaksirka­n dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 20 Mac 2019.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia