Harian Metro

SURAU RUMAH KAMI

Wanita ditinggal suami terpaksa menumpang di surau selepas puas berpindah-randah

- Oleh Mary Victoria Dass maryvictor­ia @hmetro.com.my

Kesedihan cukup dirasai melihat nasib enam beranak yang terpaksa tinggal menumpang di surau susulan kemiskinan tegar yang dihadapi.

Wanita malang terbabit, Noriah Abdullah, 37, berkata, kehidupann­ya menjadi sukar selepas ditinggalk­an suami sejak dua tahun lalu selain bergantung sepenuhnya pada bantuan Majlis Agama Islam Johor (Maij) sebanyak RM400 sebulan bagi menyara enam anak.

“Kebimbanga­n saya bukan hanya soal tempat tinggal malah masa depan anak kerana tiga daripada mereka terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu akibat masalah kewangan,” katanya.

Menurutnya, dia bersama anak-anaknya berusia setahun enam bulan dan 15 tahun terpaksa berpindah-randah sebelum menumpang di sebuah bilik di surau daerah ini sejak awal Disember lalu.

“Alhamdulil­lah, sekurang-kurangnya kami diberi ruang menghuni sementara di bilik di surau ini.

“Ia memudahkan urusan anak perempuan saya mendapatka­n rawatan di hospital awam di bandar raya ini akibat bacaan gelombang otak yang tidak normal.

“Kami terhutang budi kepada jemaah surau yang mengambil berat soal makan minum kami,” katanya ketika menerima kunjungan wakil jejak asnaf Maij, Mohd Nasir Ishak.

Dalam lawatan itu, Maij menyumbang­kan wang tunai dan barang keperluan bagi meringanka­n beban Noriah sekeluarga.

Noriah berkata, fokusnya adalah memastikan kehidupan anak-anaknya, Muhammad Shahadhan Hadi Rizqi, setahun enam bulan, Nursyarmie Elieya, 8, Muhammad Sharihir Ilham, 11, Nursyalia Natasya Abd Kadir dan kembarnya, Nursyalia Nornabila, 14, serta Muhammad Shahier Muhaimien Abd Kadir, 15, terjamin.

Menurutnya, Muhammad Shahier Muhaimien serta anak kembarnya terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu.

“Saya bercadang mendaftark­an Muhammad Shahier ke pusat tahfiz kerana dia berminat mendalami ilmu agama selain mendaftark­an anak kembar mengikuti kursus kemahiran seperti jahitan atau andaman. Namun sehingga kini saya tidak mampu melakukann­ya tanpa sumber kewangan,” katanya.

Noriah berkata, dia berharap ada pihak tampil menawarkan bantuan kepada anak sulung dan anak kembarnya supaya mereka tidak putus asa dengan cabaran hidup.

Menurutnya, dia berharap agensi berkaitan dapat membantu anak-anaknya kembali ke sekolah dan berpeluang mempunyai masa depan yang lebih cerah.

 ??  ??
 ??  ?? NORIAH bersama lima anaknya yang tinggal di bilik surau
di Johor Bahru.
NORIAH bersama lima anaknya yang tinggal di bilik surau di Johor Bahru.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia