Harian Metro

AKHIRNYA DAPAT PELUK MAMA

Penantian dua beradik berakhir selepas dipertemuk­an dengan ibu kandung

- Oleh Redzuan Muharam redzuan.muharam@hmetro.com.my

Selepas 17 tahun terpisah, dua beradik, Ashraf, 21, dan Amylia Hazeli, 23, akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati Hasim, 49, Rabu lalu.

Pertemuan tidak diduga itu berlaku di sebuah rumah di Ampang dan kisah berkenaan mendapat perhatian warganet selepas Ashraf memuat naik ciapan di Twitter, kelmarin.

Ciapan berkenaan turut menyentuh hati warganet yang gembira dengan penyatuan semula tiga beranak itu.

Menceritak­an kisah di sebalik perpisahan itu, Ashraf berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibunya ketika berumur empat tahun.

“Menurut ayah (Azeli Musa, 57), mama pergi kerana salah faham antara mereka.

“Sejak itu, saya dan kakak dijaga ayah dan ibu tiri. Saya dan kakak pernah berusaha mencari mama, kali terakhir sebelum kakak mendirikan rumah tangga, tiga tahun lalu.

“Namun, usaha itu tidak berjaya dan tidak sangka, akhirnya doa saya untuk bertemu semula dengan mama termakbul.

“Sewaktu pertemuan tempoh hari, mama mengakui tidak pernah berputus asa mencari saya dan kakak tetapi hanya dapat menjejak kami selepas ke bengkel sepupu ayah,” katanya dihubungi Metro Ahad semalam.

Ashraf berkata, kehidupann­ya tidak sama seperti rakan sebaya lain sepanjang ketiadaan ibunya.

Perkongsia­n kisah di Twitter itu sekadar untuk meluahkan rasa gembira, syukur dan teruja saya selepas bertemu semula dengan mama tetapi banyak pula maklum balas diterima”

Menurut Ashraf, detik paling menyedihka­nnya adalah setiap kali tiba Aidilfitri kerana tidak dapat bersalaman dengan ibu di pagi Syawal.

“Memang sedih kerana kehidupan saya sejak kecil tidak sama seperti rakan sebaya lain.

“Malah, saya cemburu melihat rakan menerima panggilan telefon daripada ibu mereka sedangkan saya tidak.

“Perasaan sedih itu bertambah menjelang Aidilfitri kerana kakak beraya bersama keluarga mentua manakala saya sendiri dan sesekali ke rumah rakan untuk menghilang­kan kesunyian.

“Kini, mama kembali dan saya tergamam ketika bertemu dengannya (mama) tempoh hari serta tersentuh apabila dia masih mengingati tarikh lahir saya,” katanya yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor.

Berhubung kisahnya yang tular, Ashraf berkata, dia tidak sangka ciapannya itu mendapat perhatian pengikutny­a dan warganet di Twitter.

“Perkongsia­n kisah di Twitter itu sekadar untuk meluahkan rasa gembira, syukur dan teruja saya selepas bertemu semula dengan mama tetapi banyak pula maklum balas diterima.

“Ada juga yang berkongsi nasib sama dan diharap, mereka tidak berputus asa mencari serta berdoa supaya dipertemuk­an semula dengan insan tersayang,” katanya.

Ashraf

 ??  ?? ASHRAF dan kakaknya, Amylia (kanan) akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati selepas 17 tahun terpisah.
ASHRAF dan kakaknya, Amylia (kanan) akhirnya bertemu semula dengan ibu kandung mereka, Ermawati selepas 17 tahun terpisah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia