Harian Metro

MERIAHNYA PASAR KRISMAS

Jerman miliki seribu satu tarikan yang pasti menarik penulis kembali lagi

- Oleh Shamran Sarahan shamss@mediaprima.com.

Tidaklah terlalu lama, hanya tiga tahun lalu, penulis pernah menjejakka­n kaki di bumi Jerman ini.

Bezanya, ketika kali pertama, penulis pergi dengan duit sendiri untuk melancong, kali ini atas tuntutan kerja.

Penulis bersama tiga lagi wakil media dari Malaysia dibawa mengunjung­i negara di Eropah tengah itu oleh German National Tourist Board.

Sudah tentu, untuk kunjungan kali kedua, penulis inginkan kelainan, meskipun hakikatnya, destinasi yang dikunjungi sama saja dengan kunjungan pertama dulu.

Franfurt, Cologne, Nuremberg dan Munich, semua destinasi itu masih segar dalam kepala penulis, tetapi kali ini berbeza, ia lebih ceria dan menyeronok­kan.

Mungkin kerana kali ini, sudah tiba musim sejuk, lagi pula perayaan Natal dan sambutan tahun baharu semakin hampir.

Pasar Krismas sudah mula dibuka menjadikan kota-kota utama di Jerman, terutama di destinasi yang dikunjungi penulis tampak lebih ceria pada sebelah malam.

Bermula dengan kunjungan ke Frankfurt, penulis bersama wakil media dibawa mengelilin­gi sekitar bandar metropolis itu, turut dikenali sebagai ‘Bank Pusat Eropah.’

Tarikan utama bermula apabila kami memasuki

The Hauptwache, atau turut dikenali sebagai ‘Main Guardroom’, ia sentral kepada kota Frankfurt.

Selain dipenuhi dengan pelbagai gedung belibelah, sisi kota ini menjadi istimewa dengan longgokan gerai di pasar Krismas yang dipenuhi dengan jualan sempena sambutan Natal.

Pasar-pasar itu menjadikan sentral Frankfurt khususnya dekat Katharinen­kirche, berwarna-warni dengan kerlipan lampu neon menghiasi setiap gerai, tidak sama seperti musim-musim lain.

Apatah lagi di kota lama, Romerberg, suasananya amat menarik, hiruk-pikuk dengan penduduk tempatan yang memenuhi setiap pelosok pasar Krismas di situ, itu tidak termasuk pelancong.

Gerai-gerai di situ, dengan barangan yang dijual lazimnya perhiasan sambutan Natal, selain

kuih dan biskut tradisiona­l, seperti Lebkuchen, Vanillekip­ferln, Springerle dan Pfeffernus­se.

Hanya sehari kami di Frankfurt, jelajah kami diteruskan di Cologne, kira-kira sejam setengah perjalanan dengan menaiki kereta api laju.

Tidak mahu menghabisk­an masa terlalu lama di pasar Krismas saja, kami mengambil peluang berkunjung ke tempat menarik lain di Cologne. Tetapi, ia bukan mudah buat kami.

Dalam lawatan singkat sehari, kami hanya sempat berkunjung ke Farina

House yang mempamerka­n kediaman Farina, pencipta minyak wangi pertama di dunia, selain ke Muzium Coklat dan Muzium Bandar Cologne.

Masa yang terluang juga kami penuhi dengan kunjungan ke pasar Krismas di sekitar bandar itu, selain melihat kemeriahan aktiviti bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota berkenaan.

Destinasi seterusnya, Nuremberg. Sebagaiman­a Franfurt dan Cologne, Nuremberg juga tidak ‘lokek’ dengan destinasi menarik untuk dikunjungi dan ia mudah dituju hanya berjalan kaki di sekitar sentral kota ini.

Siangnya, kami habiskan masa berkunjung ke Kaiserburg, istana lama peninggala­n Empayar Rome, kemudian kami berkunjung ke Albrecht Durer’s House, kediaman pelukis terkenal negara itu pada abad ke-15.

Malamnya, sudah tentu kami tidak melepaskan peluang untuk sekali lagi berkunjung ke pasar Krismas di situ, khususnya di lokasi tarikan pelancong kota berkenaan, berdekatan gereja St Lorenz sehingga St Sebaldus.

Selain lambakan pasar Krismas, Nuremberg menyediaka­n 39 destinasi menempatka­n dekorasi pokok dan hiasan Krismas sekitar kota itu.

Tidak hairanlah jika kota ini terkenal di dunia sebagai Christkind­lesmarkt atau pasar Krismas dengan tradisi lebih 400 tahun.

Selepas tiga hari ‘meletihkan’ di Frankfurt, Cologne dan Nuremberg, kami singgah di Ingolstadt Village, lokasi pusat belibelah terbesar di negara ini yang terletak lebih kurang 80 kilometer dari Munich.

Ingolstadt Village menempatka­n premis jualan pelbagai jenama, termasuk barangan mewah seperti Gucci, Agner dan Prada, membabitka­n lebih 110 butik.

Tidak menghabisk­an masa lama di situ, kami meneruskan kunjungan ke Munich dan menghabisk­an sisa dua hari kami di bandar Bavaria itu.

Meskipun musim dingin di bawah -1 darjah Celsius, ia tidak membantutk­an keinginan penulis menjelajah Munich, yang cukup intim dengan pasukan bola sepak terkenal, Bayern Munich.

Munich, bagi penulis seperti juga Paris, ia kota romantis, kota seni. Ia tidak pernah membosanka­n, meskipun ia bukan kunjungan pertama penulis ke situ.

Di Munich, kami dibawa meronda-ronda mengelilin­gi kota metropolit­an yang menempatka­n 1.5 juta penduduk, selain ke kota lama Munich, Istana Nymphenbur­g dan Muzium BMW.

Hari terakhir, penulis mencuri masa bersendiri­an di Munich, berjalan kaki di sekitar kota di selatan Jerman ini tidaklah terlalu meletihkan.

Penulis memulakan langkah dari tengah kota di Stesen Marienplat­z.

Di kanan Marienplat­z dipenuhi seni bina lama, di kirinya pula deretan muzium dan galeri seni yang bermula di Kralsplatz. Di sinilah kota baru dan lama bersatu.

Di situ juga terhimpun nadi tarikan ke Munich, dari panggung opera, Muzium Kebangsaan Bavaria, istana Archbishop yang menjadi kediaman Pope Benedict

XVI dan puluhan lagi binaan sentuhan seni Rococo.

Seni bina lama seperti Gereja St Peter, Asamkirche, satu daripada seni bina gaya rococo terindah di dunia selain bekas istana lama yang dikenali sebagai Old Residenz turut dikunjungi.

Penulis turut meluangkan masa mengunjung­i muzium seni halus, atau disebut warga tempatan, Alte Pinakothek, yang kebetulan sedang mempamerka­n karya pelukis terkenal zaman pertengaha­n, Van Dyck.

Rasanya, kalaulah ada peluang lagi ke Jerman, sekalipun tempat yang sama, penulis tidak teragak-agak untuk kembali lagi.

Jerman memiliki seribu satu macam tarikan, bukan saja kerana sejarah, seni bina lama dan tamadun, bahkan dari segi kemajuan dan pemodenan, ia tidak cukup diterokai dengan hanya satu, atau dua kunjungan.

 ??  ??
 ??  ?? BARANGAN hiasan yang dijual di pasar Krismas.
BARANGAN hiasan yang dijual di pasar Krismas.
 ??  ?? PEMANDANGA­N
di sekitar Marienplat­z,
Munich.
DERETAN kedai barangan berjenama di Ingolstadt Village.
PEMANDANGA­N di sekitar Marienplat­z, Munich. DERETAN kedai barangan berjenama di Ingolstadt Village.
 ??  ?? SEKITAR Istana
Imperial di Nuremberg
SEKITAR Istana Imperial di Nuremberg
 ?? FOTO REUTERS & SHAMRAN SARAHAN ?? PENDUDUK bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota Cologne.
FOTO REUTERS & SHAMRAN SARAHAN PENDUDUK bermain ski di tapak salji buatan di pinggir kota Cologne.
 ??  ?? PENULIS (kiri) bergambar bersama rakan media di pasar Krismas di Cologne.
PENULIS (kiri) bergambar bersama rakan media di pasar Krismas di Cologne.
 ??  ?? JAMBATAN kereta api menuju ke Cologne Cathedral.
JAMBATAN kereta api menuju ke Cologne Cathedral.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia