Harian Metro

Selidik punca sebelum rawat muntah

-

UBAT

Muntah adalah penyingkir­an kandungan perut melalui mulut secara sengaja atau tidak sengaja. Muntah bukan sejenis penyakit tetapi ia adalah gejala yang boleh berlaku disebabkan pelbagai jenis penyakit dan keadaan lain.

Antara sebab biasa muntah berlaku adalah mengandung, mabuk perjalanan, masalah dalam telinga, migrain, kesan sampingan rawatan kemoterapi kanser dan pengambila­n ubat tertentu.

Muntah juga boleh disebabkan keadaan lain seperti kecederaan kepala, jangkitan kuman atau virus, keracunan makanan, penyakit berkaitan usus dan sebagainya.

Selain itu, pesakit perlu cakna dengan komplikasi muntah iaitu dehidrasi atau kekurangan air dalam badan. Antara tanda dehidrasi adalah bibir atau mulut kering, kurang kencing, mata cengkung, denyutan jantung laju dan kurang air mata ketika menangis (bagi bayi). Dehidrasi yang teruk boleh bawa komplikasi berbahaya seperti kegagalan buah pinggang.

Pesakit dinasihat mendapatka­n rawatan segera di klinik atau hospital berhampira­n sekiranya mengalami tanda bahaya muntah seperti ia berlaku berterusan, disertai demam, muntah selepas kecederaan di kepala, mengandung­i darah atau berwarna kehijauan, disertai tanda kekeliruan atau kesukaran bernafas.

Pesakit tidak digalakkan untuk merawat sendiri muntah kerana rawatan muntah bergantung pada puncanya. Dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil ubat supaya kesan rawatan yang optimum dicapai.

RAWATAN

Ada beberapa jenis ubat muntah untuk punca yang berbeza-beza. Berikut ialah contoh muntah yang kerap berlaku dan rawatan yang sesuai:

1. Muntah ketika mengandung

Ubat tahan muntah yang sering diguna meclozine, pyridoxine atau metoclopra­mide. Muntah yang berpanjang­an ketika hamil mungkin perlu dirawat di dalam wad dengan rawatan gantian cecair dan elektrolit.

2. Muntah susulan rawatan kemoterapi

Muntah ialah kesan sampingan yang biasa bagi sesetengah rawatan kemoterapi kanser. Bergantung pada jenis kemoterapi, sesetengah pesakit dewasa dibekalkan dengan ubat dexamethas­one dan metoclopra­mide untuk mencegah muntah yang disebabkan oleh kemoterapi. 3. Mabuk perjalanan

Mabuk perjalanan disebabkan kecelaruan otak dalam mentafsir rangsangan daripada mata, telinga dan pergerakan badan akibat perjalanan yang berlikulik­u. Bagi mengelakka­n situasi sebegini, ubat muntah perlu diambil sebelum memulakan perjalanan. Namun begitu, kebanyakan ubat muntah boleh menyebabka­n kesan mengantuk dan tidak sesuai diambil individu yang ingin memandu kenderaan.

Walaupun sesetengah ubat muntah boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi, pesakit dinasihati untuk berbincang dengan ahli farmasi berkaitan gejala dan arahan pengambila­n ubat supaya kesan rawatan yang optimum diperoleh.

4. Andai dialami kanak-kanak

Kebanyakan ubat muntah tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah umur dua tahun kerana boleh menyebabka­n kesan sampingan yang serius seperti kesukaran bernafas. Kanak-kanak yang mengalami muntah hendaklah dirujuk pada doktor supaya punca muntah dikenal pasti dan rawatan yang sesuai dapat diberikan.

Kesimpulan­nya, muntah ialah gejala yang disebabkan oleh pelbagai keadaan dan rawatannya berasaskan punca. Ada pelbagai jenis ubat yang boleh diguna dalam rawatan muntah, namun tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak. Pesakit dinasihati untuk berjumpa dengan doktor apabila mengalami gejala muntah supaya rawatan yang sesuai diberikan berdasarka­n punca penyakit.

Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan, boleh menghubung­i Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre - NPCC) melalui talian 1800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).

Disediakan oleh Zuhailah Mohd Shafawi;

Pegawai Farmasi Hospital Shah Alam

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia