Badan berbau, menggambarkan personaliti
PENAMPILANNYA kemas, segala-galanya tampak sempurna dan sentiasa bergaya. Namun, hanya satu saja kekurangan, bau badan benar-benar menyesakkan hidung dan menggambarkan personaliti anda.
Malah, ia menimbulkan ketidakselesaan pada orang lain, hendak ditegur bimbang si dia sentap, namun bau menyesakkan itu begitu merimaskan dan bikin mood hilang.
Ini belum lagi termasuk masalah ketiak hitam membuatkan seseorang itu rendah diri, malu menggayakan gaun tanpa lengan kegemaran berikutan ia jelas kelihatan ketara.
Cetus rasa rendah diri
Meskipun, masalah itu tetap boleh disembunyikan menerusi pemakaian yang tidak mendedahkan lengan, namun ia memberi rasa rendah diri berikutan anggota bawah lengan itu kurang menarik.
Umumnya, ketiak gelap ini disebabkan pengambilan insulin secara berterusan, kegemukan, ketidakseimbangan hormon dan keadaan badan yang berpeluh terlalu berlebihan. Masalah ini tidak hanya ketara pada ketiak, tetapi juga berlaku di celahan paha, leher, siku, buku lali dan leher.
Selain itu, rutin mencukur bulu, peluh, pengumpulan sel kulit mati, penggunaan deodoran, krim penghapus bulu dan pengudaraan yang tidak betul boleh membuatkan ketiak berubah gelap.
Tidak dinafikan bau badan yang tidak menyenangkan adalah masalah utama bagi pengguna pengangkutan awam.
Lebih-lebih lagi jika anda dikelilingi penumpang yang berpaut pada palang pemegang. Ini kerana alat semburan anti-peluh gagal melindungi bau badan, malah ada yang tidak langsung menggunakannya berikutan tidak menyukainya.
Sel kulit mati
Seperti masalah jeragat, seeloknya sel kulit mati dihilangkan di ketiak kerana ia mengakibatkan bahagian itu kehitaman. Ini kerana penyelidikan daripada pakar kulit, melihat banyak kulit -kulit mati di bahagian ketiak yang hanya boleh dilihat seperti bentuk bukit dan lembah menerusi peralatan mikroskopik. Ini boleh diatasi dengan menggunakan produk yang mengandungi asid laktik. Pengelupasan sel kulit mati, boleh memperbaharui sel kulit baharu.
Tukar jenama lain
Penggunaan deodoran bagi satu tempoh lama, mungkin menimbulkan iritasi terhadap kulit termasuk menggelapkan bahagian bawah lengan. Ini kerana terdapat teori kandungan dalam sesuatu deodoran termasuk wangian di dalamnya membuatkan iritasi pada kulit. Masalah ini hilang sebaik menghentikan penggunaan dan ketiak kembali cerah. Justeru untuk mengatasinya, boleh mencuba menukarkan jenama yang lain atau gunakan deodoran berbanding anti-perspirant.
Pigmentasi
Biar apapun masalahnya, banyak kaedah semula jadi untuk menyelesaikan ketiak hitam sekali gus mengembalikan semula keyakinan diri tidak kira wanita mahupun lelaki. Mempunyai ketiak gelap memang sesuatu yang memalukan meskipun ia tidak mendatangkan mudarat atau menyakitkan seperti penyakit lain. Misalnya ketiak hitam ini disebabkan kegemukan membuatkan pigmentasi gelap di bawah lengan sama seperti geselan paha bagi mereka yang mengalami lebih berat badan. Justeru, rutin mencukur bahagian berkenaan membuatkan kulit sekitar berubah gelap berikutan peralatan itu terkena pada kulit yang nipis. Ini boleh diatasi dengan menghentikan tabiat mencukur, tetapi diganti dengan kaedah waxing atau mencabut bulu hingga ke akarnya. Ini juga melambatkan proses penumbuhan semula.
Gangguan kelenjar
Terlalu bergantung terhadap satu-satu ubat membuatkan kulit di bahagian pelipat menjadi kehitaman, coklat dan gelap. Keadaan ini dikenali acanthosis nigricans, iaitu tanda kehitaman pada leher, bawah lengan atau pangkal paha. Ini berkaitan dengan pengeluaran insulin atau gangguan kelenjar dan biasanya terjadi pada orang yang mempunyai berat badan berlebihan. Langkahnya mudah, kembali berdiet bagi mengawal insulin dan ikuti preskripsi asid salisilik untuk kawalan khusus untuk bahagian bawah lengan.
Pigmentasi tinggi
Keadaan ini menyebabkan kulit anda untuk menghasilkan lebihan pigmen melanin. Ia kerana setiap orang mengalami perubahan warna kulit dari waktu ke waktu. Misalnya berjalan di pantai pendedahan sinar ungu (UV) membuatkan kulit menjadi gelap. Hiperpigmentasi atau kulit gelap berlebihan, adalah gejala utama dari penyakit Addison, gangguan yang terjadi ketika kelenjar peluh gagal menghasilkan sejumlah hormon penting yang mencukupi. Perubahan hormon ketika kehamilan juga dapat meningkatkan produksi melanin, menyebabkan kulit berwarna gelap di atas bibir, hidung, tulang pipi atau dahi. Hiperpigmentasi adalah contoh dari gangguan pigmentasi yang terjadi ketika sel kulit menjadi rosak atau tidak sihat.