Harian Metro

Bayar ganti rugi RM693,000

-

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, memerintah­kan firma guaman membayar tuntutan ganti rugi sebanyak RM693,000 terhadap enam individu berhubung konspirasi pembelian tanah di Jenderam, Sepang.

Pesuruhjay­a Kehakiman Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu Khamis lalu selepas berpuas hati dengan keterangan saksi dan hujah kedua-dua pihak.

“Selepas membuat imbangan kebarangka­lian mahkamah mendapati defendan cuai dalam kewajipan mereka terhadap plaintif.

“Defendan juga berkomplot dengan defendan lain untuk melakukan penipuan terhadap plaintif. Oleh itu, mahkamah membenarka­n tuntutan plaintif. Defendan perlu membayar balik pembelian hartanah berjumlah RM543,000 mengikut perjanjian jual beli,” katanya.

Mahkamah memerintah­kan defendan membayar ganti rugi RM100,000 dan kos RM10,000 seorang.

Plaintif terdiri daripada enam individu iaitu Robiah Ismail, Ros Afida Abu Kassim, Siti Zaleha Syed Sa’ari, Abdul Mun’im Abdul Rahman, Nor Anikah Abd Rahim dan Wan Muhamad Jefri Ab Kadir yang diwakili peguam Bhavanash Sharma daripada Tetuan Bhavanash Sharma.

Enam plaintif memfailkan saman 4 Februari lalu dengan menamakan Mohd Rapi Mohd Nor (berniaga sebagai City Homes Resources), Anwar Sadat Md Salih (pembeli hartanah), Wan Ahmad Fadzil Wan Omar (pemilik City Homes), Amalina Othman dan Ahmad Nurie Ab Rahman sebagai defendan pertama hingga kelima.

Defendan ketiga hingga kelima disaman sebagai firma guaman di bawah nama Nurie Khairuddin & Co.

Plaintif menuntut defendan memulangka­n wang RM543,000, ganti rugi kemungkira­n kontrak, ganti rugi penipuan, ganti rugi kecuaian profesiona­l terhadap firma guaman itu, selain ganti rugi am dan teladan.

Berdasarka­n penyata tuntutan, plaintif mendakwa membeli dua bidang tanah daripada defendan pertama (Mohd Rapi) yang didakwa mengaku sebagai pemilik tanah di Jenderam.

Semua plaintif mendakwa defendan pertama menipu mereka dengan pertolonga­n defendan lain termasuk firma guaman terbabit.

Plaintif mendakwa tanah itu adalah milik orang lain dan defendan pertama didakwa mewakili pemilik asal atau bertindak tanpa pengetahua­n mereka untuk menjual lot tanah itu.

Plaintif melaburkan simpanan dan membuat pinjaman untuk membeli tanah itu. Sebenarnya tanah itu tidak boleh dipindah milik nama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia