Warisan, Umno berentap
Kota Kinabalu: Dua calon, masing-masing mewakili Parti Warisan Sabah dan Umno disebut-sebut antara yang bakal dipertaruhkan parti masing-masing bagi merampas kerusi Parlimen Kimanis pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, 18 Januari depan.
Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang dan Ketua Umno Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, dua nama yang tidak asing lagi di kawasan Kimanis, antara senarai teratas yang mungkin dicalonkan parti masing-masing.
Walaupun setakat ini kedua-dua parti belum mengumumkan nama calon mereka, bayangan mengenai siapa yang bakal dinamakan menjelang hari penamaan calon pada 4 Januari depan sudah kelihatan.
Ia berdasarkan kekerapan kedua-dua pemimpin itu turun padang bertemu rakyat di sekitar Kimanis sejak kebelakangan ini terutama selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi PRK berkenaan.
Karim adalah calon Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Kimanis manakala Mohamad adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan, namun tewas di tangan calon Warisan, Dr Daud Yusof.
Kedua-dua pemimpin pernah dalam kem yang sama iaitu Umno namun Karim menyertai Warisan.