Harian Metro

PSM tak sisih Kamal

- Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad mriduwan@ hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Persatuan Sepaktakra­w Malaysia (PSM) menafikan pihaknya bersikap lepas tangan terhadap bekas perejam negara, Muhammad Kamal Ishak yang terbabit kemalangan jalan raya dan terpaksa menjalani pembedahan belakang pada Februari lalu.

Penolong Setiausaha II PSM, Yusoff Ali berkata, badan induk kebangsaan itu memberi bantuan kewangan termasuk menyediaka­n peralatan sokongan bagi sesi pemulihan pemain terbabit.

“Walaupun Kamal bukan lagi atlet kebangsaan ketika terbabit kemalangan kerana digugurkan daripada skuad Sukan Sea, tapi dengan inisiatif PSM dan Majlis Sukan Negara, kami bawa dan senaraikan dia sebagai atlet kebangsaan untuk dapatkan bantuan elaun.

“Dia menerima bantuan RM3,000 di samping peralatan sokongan dalam sesi pemulihan seperti katil khas,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita bahawa bekas pemain sepak takraw kebangsaan itu kesal dan beranggapa­n PSM lepas tangan terhadap keadaannya selepas terbabit kemalangan jalan raya pada Februari lalu dan tiada punca pendapatan bulanan.

Menerusi laporan itu, Muhammad Kamal berkata, dia hanya menerima dana RM3,000 menerusi PSM sepanjang tiga bulan pertama selepas kemalangan walaupun dijanjikan dana bulanan RM1,000 bagi membantuny­a membiayai kos rawatan susulan.

Yusoff berkata, tiada bantuan kewangan lain yang boleh diberikan kepada Muhammad Kamal kerana statusnya bukan lagi atlet kebangsaan ketika ini.

“Mana boleh kami lepas tangan. Kami berusaha bantu dia dengan merujuk kesnya kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) dan Bahagian Pengurusan Acara MSN supaya mendapat bantuan lain.

“Kami bukan setakat nak bantu dia, bahkan semua bekas pemain yang memerlukan... kami cuba bantu ikut kemampuan kewangan persatuan,” katanya.

Sementara itu, Yusoff berkata, pihaknya masih menunggu butiran lanjut mengenai jenis kerusi diperlukan Muhammad Kamal.

“Saya sudah bercakap dengan dia beberapa kali sebelum ini, mengenai model kerusi dikehendak­inya. Dia janji akan beritahu, namun senyap sehingga kini. Saya pula yang tertunggu-tunggu sebab kami nak buat surat sokongan permohonan kepada ke YAKEB dan MSN,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia