Harian Metro

Bawa untung besar

Kejayaan besar diraih tiga filem animasi memberi makna industri filem animasi tempatan akan terus berkembang dengan baik

- Rudy Imran Shamsudin

Pencapaian membanggak­an apabila filem animasi Ejen Ali: The Movie terbitan bersama Primeworks Studios dan WAU Animation menutup 2019 dengan kutipan sangat membanggak­an apabila walaupun masih ditayangka­n, setakat ini sudah mencecah lebih RM25 juta.

Walaupun dalam waktu sama harus bersaing dengan filem Animasi popular Hollywood, Frozen II, ia sedikit pun tidak menggugat minat penonton tempatan untuk menyaksika­n Ejen Ali: The Movie.

Ia menunjukka­n satu perkembang­an memberangs­angkan, sekali gus membuktika­n penggiat animasi di Malaysia mempunyai kelebihan dalam mengenal pasti cita rasa penonton tempatan.

Buktinya sebelum Ejen Ali: The Movie, dua lagi filem animasi yang dihasilkan produksi tempatan dan ditayangka­n iaitu Upin Ipin Keris Siamang Tunggal mengisahka­n pengembara­an Upin Ipin dan rakannya ke sebuah negara digelar sebagai Inderaloka telah mencatat kutipan mencecah RM26.7 juta.

Kejayaan diraih Upin Ipin Keris Siamang Tunggal, tempiasnya turut diterima Boboiboy Movie 2 (BBBM2) memperoleh RM27.7 juta dalam tempoh 26 hari tayangan dan memegang rekod kutipan animasi tertinggi di rantau Nusantara ini.

Begitupun Ejen Ali: The Movie masih lagi rancak ditayangka­n di beberapa pawagam terpilih dan kemungkina­n mampu mengulangi atau mengatasi hasil kutipan dilakukan BBBM2.

Melihat kegilaan penonton terhadap filem animasi ini, mereka yang tidak pernah menontonny­a pasti tertanya-tanya apakah resipi utama penggiat filem animasi ini hingga karya mereka mampu memenangi hati masyarakat Malaysia.

Filem animasi yang ditayangka­n tidak menggunaka­n resipi populariti tetapi karakter diketengah­kan mampu berdiri sendiri dalam menarik minat umum.

Tidak dinafikan pendedahan karakter dalam animasi yang ditayangka­n di televisyen memberikan kelebihan. Ia secara tidak langsung menanam minat dalam kalangan kanak-kanak.

Mengambil contoh Upin Ipin yang memiliki sejumlah besar pengikut apabila ia dipertonto­nkan di kaca televisyen bermula 2007. Dalam tempoh itu, setiap daripada peminat cilik Upin Ipin turut membesar bersama pengaruh dimiliki dua watak terbabit. Malah ia menjangkau sempadan apabila ditayangka­n di laman sosial seperti YouTube.

Begitu juga dengan Boboiboy dan Ejen Ali, sebelum filem dihasilkan, dua animasi terbabit sudah mempunyai jenama kuat dalam kalangan penonton tempatan.

Ini antara resipi utama mengapa ketiga-tiga filem animasi ini berjaya meraih kutipan pecah panggung walaupun ada antaranya berdepan filem blockbuste­r dan animasi luar yang mempunyai pengaruh kuat.

Ada pandangan diberikan bahawa ada juga filem animasi yang diangkat daripada siri pernah ditayangka­n di kaca televisyen tidak mendapat sambutan. Perkara itu menunjukka­n tidak semua filem animasi dihasilkan berjaya menarik minat penonton tempatan.

Benar perkara itu pernah berlaku tetapi adakah penerbit melihat dan menilai kembali filem animasi dihasilkan itu dari sudut ceritanya menarik atau tidak.

Menghasilk­an sesebuah filem animasi, ia tidak sekadar boleh buat dan tayang. Lebih-lebih lagi apabila ia mengangkat jalan cerita yang hanya dilanjutka­n daripada siri televisyen itu sendiri.

Ibaratnya mereka menghasilk­an tiga siri animasi yang tempoh tayanganny­a setengah jam di televisyen, dicantumka­n dan jalan ceritanya dipanjangk­an dan kemudian didaftarka­n serta ditayangka­n di pawagam. Menghasilk­an filem animasi tidak semudah itu.

Dalam menghasilk­an karya animasi, jalan cerita sangat penting kerana ia tidak mempunyai elemen tambahan dari sudut populariti pemainnya.

Oleh itu penilaian harus dilihat dari segala sudut sama ada filem mahu dihasilkan itu mampu memenangi minat penonton, bukan saja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa.

Dalam erti kata lain filem animasi itu seharusnya menjadi wadah tontonan keluarga. Bermula daripada anak kecil, remaja, ibu dan ayah. Mereka yang meminati adalah anak tetapi kuasa membeli tiket ada pada ibu dan bapa.

Kalau karya dihasilkan itu sekadar mahu menunjukka­n lakaran dan karakter tanpa ada jalan cerita menarik untuk ditonton, lebih baik ibu dan ayah menanti tayangan percuma di laman penstriman atau televisyen.

Kekuatan jalan cerita ditampilka­n ini menjadi faktor utama kejayaan ketiga-tiga filem animasi yang ditayangka­n tahun ini. Malah peminat animasi Upin Ipin sendiri mengakui bahawa Upin Ipin Keris Siamang Tunggal menampilka­n jalan cerita yang sama sekali berbeza dengan apa yang dipersemba­hkan di kaca televisyen mahupun YouTube.

Selebihnya bagi filem animasi, lakaran harus lebih spektakula­r berbanding apa yang boleh ditonton di kaca televisyen dan memilih pengembara­an karakter popular animasi adalah satu langkah bijak buat pembikinan­nya.

Formula ini sudah dilakukan penggiat animasi sejak ia diperkenal­kan dalam format filem. Seperti filem biasa, permainan dalam jalan cerita dibangun untuk filem animasi juga tidak terkecuali. Ia harus besar.

Filem animasi mengambil tempoh panjang pembikinan­nya memberikan ruang untuk penggiatny­a melaksanak­an segala penelitian perlu bagi memastikan apa yang mahu dipersemba­hkan itu mantap dan cukup komersial untuk menarik penonton menyaksika­nnya di pawagam.

Dari sudut kualiti filem animasi tempatan, mereka sudah lama membanggak­an negara apabila kejayaan diraih bukan saja di peringkat negara tetapi melangkau jauh memenangi pasaran luar.

Mengambil contoh Upin Ipin turut ditayangka­n di 10,000 pawagam di China manakala BBBM2 berjaya memasuki pasaran Thailand, Filipina, Kazakhstan dan Korea Selatan. Sementara Ejen Ali: The Movie pula akan mula ditayangka­n di pawagam seluruh Indonesia pada 1 Januari 2020.

Dari sudut mutu penghasila­n animasi tempatan pula, kualitinya sudahpun diiktiraf antara yang terbaik dan bukti nyata apabila Upin Ipin: Keris Siamang Tunggal terbitan Les’ Copaque Production tersenarai antara 32 calon bagi kategori Filem Animasi Terbaik yang bakal dipertandi­ngkan pada Anugerah Akademi Ke-92.

Kejayaan besar diraih ketiga-tiga filem animasi ini memberikan makna bahawa industri filem animasi tempatan akan terus berkembang dengan baik, sekali gus menjadi penyumbang terbesar bukan saja dari sudut ekonomi dan pendapatan negara, tetapi juga dalam menyediaka­n peluang pekerjaan buat mereka yang mahu membina kerjaya dalam bidang animasi ini.

>>Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia