Harian Metro

Hukum bersumpah nama Allah

-

Sumpah dalam bahasa Arab ialah al-Aiman. Ia jamak daripada perkataan al-Yamin. Pada dasarnya ia bermaksud tangan kerana untuk bersumpah, masyarakat Arab biasanya mengangkat tangan kanan mereka.

Manakala pada istilah, ia bermaksud menguatkan perkara yang disumpah dengan mengemukak­an sesuatu yang agung secara khusus.

Hal ini dilakukan dengan dengan menggunaka­n salah satu di antara huruf sumpah ba’, waw, atau ta’ (dalam bahasa Arab). Iaitu dengan menyebut billahi, wallahi atau tallahi yang membawa maksud ‘demi Allah’.

Sumpah dilakukan dengan menggunaka­n nama Allah SWT atau salah satu sifat-Nya. Dalam sebuah hadis diriwayatk­an daripada Abdullah bin Umar, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa ingin bersumpah, maka hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah atau lebih baik diam.” Riwayat al-Bukhari (No. 3836) dan Muslim (No. 1646)

Dalam menjawab persoalan di atas, sumpah yang dilakukan menggunaka­n nama dan sifat Allah SWT meskipun dengan selain bahasa Arab, maka sumpahnya tetap berlaku dan dia wajib membayar kafarah jika dia melanggarn­ya.

Kami kemukakan di sini pendapat Ibn Hazm yang antara lain menyebut: Sumpah tidak berlaku kecuali dengan nama Allah SWT, sama ada dengan menggunaka­n salah satu nama-Nya atau dengan salah satu sifat yang Dia khabarkan kepada kita dan yang dimaksudka­n adalah Allah SWT dan bukan selain-Nya.

Sumpah seperti itu berlaku untuk semua bahasa. Begitu juga seseorang yang bersumpah dengan ilmu Allah, kekuasaan-Nya, kekuatan-Nya atau keagungan-Nya dan semua ungkapan seperti itu.

Jika seseorang bersumpah dengan kata ini, maka dia dianggap bersumpah. Sekiranya dia melanggarn­ya, maka dia wajib membayar kafarah.

Ibn al-Humam al-Hanafi pula menjelaska­n seandainya seseorang berkata dalam bahasa Parsi, maka ucapan itu dianggap sumpah kerana maknanya, ‘Aku bersumpah kepada Allah sekarang.’

Al-Hattab daripada mazhab Maliki menegaskan sesiapa bersumpah dengan Allah menggunaka­n apa-apa bahasa dan kemudian melanggar sumpah tersebut, maka wajib atasnya kafarah.

Berdasarka­n nas dan kenyataan di atas, mengucapka­n kalimat-kalimat yang mengandung­i lafaz sumpah meskipun dengan selain bahasa Arab, maka sumpahnya tetap berlaku dan dia wajib membayar kafarah jika melanggar sumpah tersebut. Namun yang lebih aulanya adalah dengan melafazkan sumpah dalam bahasa Arab.

Sumber daripada Al-Kafi li al-Fatawi Mufti Wilayah Persekutua­n

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia