Harian Metro

SIMBOL KEMULIAAN

Masjidil al-Aqsa merupakan satu kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar

-

Bulan Rejab bulan yang sinonim dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Perjalanan malam Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa, sebelum dinaikkan ke langit, dirakamkan dalam al-Quran dan hadis.

Terdapat hikmah mengapa Nabi Muhammad SAW ditransitk­an ke al-Aqsa terlebih dahulu sebelum dinaikkan ke langit. Walaupun secara logik akal, lebih mudah dan dekat sekiranya Nabi terus diangkat ke langit dari Makkah. Tetapi, ditakdirka­n Nabi diperjalan­kan ke Palestin terlebih dahulu, walaupun ketika itu wilayah terbabit dikuasai kerajaan Rom Timur dengan nama Aelia Capitolina.

Terdapat beberapa nama lain yang sinonim dengan wilayah Masjidil al-Aqsa. Semasa zaman Nabi, diriwayatk­an dalam hadis bahawa Nabi pernah memanggil wilayah terbabit sebagai Baitulmuqa­ddis dan Iliya’. Pada zaman sekarang, wilayah terbabit dikenali sebagai Palestin, al-Quds, Jerusalem dan lain-lain.

Semasa Nabi diisrakkan ke Baitulmaqd­is, tapak Masjidil Aqsa sebenarnya kosong tanpa bangunan. Bangunan masjid sudah dirobohkan Raja Titus kerajaan Rom Timur pada tahun 70M sebelum dijadikan kawasan sampah. Bagaimana Nabi solat di situ, termasuk dalam perkara ghaib yang wajib diimani, sama seperti status bumi Palestin sebagai bumi Mahsyar seperti yang disebut dalam hadis.

Ramai ulama tafsir berpandang­an itu kesan kerosakan besar-besaran kedua ke atas orang Yahudi di Palestin, merujuk kepada Surah al-Isra’,

ayat 4-7 , sehingga orang Yahudi hidup merempat di seluruh dunia atau apa yang dikenali sebagai diaspora.

Selain itu, semasa Saidina Umar bin al-Khattab membuka

Baitulmuqa­ddis pada tahun 637M, lima tahun selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, antara tindakan pertama yang beliau lakukan ialah membina bangunan Masjidil Aqsa di tapaknya yang kosong.

Al-Tabari meriwayatk­an semasa Umar masuk ke tapak al-Aqsa, beliau bertanya kepada Ka’ab al-Ahbar, bekas pendeta Yahudi yang memeluk agama Islam mengenai tapak di mana perlu dibina bangunan Masjidil Al-Aqsa. Asalnya, Ka’ab mencadangk­an di tapak Dome of

The Rock kerana di situ tapak paling suci dalam agama Yahudi. Tetapi, akhirnya Umar memutuskan untuk membina bangunan untuk solat di bahagian paling selatan kerana ia menghadap ke arah yang hampir ke arah kiblat. Umar turut membersihk­an sampah-sarap yang bertimbun di kawasan berkenaan sepanjang pemerintah­an Rom (The History of al-Tabari, 11:194-195).

Masjidil Aqsa merupakan satu kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar. Ia dikenali sebagai al-Haram al-Sharif dalam kalangan orang tempatan walaupun hakikatnya ia bukan salah satu Tanah Haram dalam agama Islam. Menurut kajian Dr Haitham al-Ratrout, pelan kompleks Masjidil Aqsa adalah sama dengan plan Kaabah.

Dalam kompleks pagar Masjidil Aqsa ini, terdapat banyak masjid kecil yang lain. Yang paling utama ialah masjid yang menempatka­n ruang legar utama untuk solat, dikenali sebagai al-Masjid al-Qibliy. Masjid dengan kubah perak gelap ini sering dikatakan sebagai Masjidil Aqsa yang sebenar, sedangkan ia merupakan salah satu daripada keseluruha­n Masjidil Aqsa.

Bangunan al-Aqsa yang lain termasuk Masjid Qubbah al-Sakhrah atau lebih dikenali sebagai Dome of The Rock. Masjid ini dibina Abdul Malik bin Marwan. Kubahnya berwarna emas, menjadi tarikan dari kejauhan untuk orang yang bermusafir ke Palestin sejak berzaman. Dalam masjid ini, terdapat satu gua kecil. Batu di atas gua itu dikatakan tempat Nabi Mikraj ke langit. Tiada batu yang terapung, melainkan bibir gua sahaja yang boleh dilihat dengan jelas dalam masjid ini. Masjid Dome of The Rock itu juga sebahagian daripada Masjidil Aqsa. Tapak ini yang paling diinginkan Yahudi kerana mereka percaya itu tapak paling suci untuk mereka dirikan Temple ketiga mereka.

Selain itu, terdapat juga Masjid Lama al-Aqsa, Masjid Marwan dan Masjid Buraq yang terletak di ruang bawah tanah. Di sebelah Masjid Buraq itu letaknya

Tembok Ratapan, tempat orang Yahudi meratap kerana menangisi kehancuran temple mereka yang terdahulu.

Di sekitar kawasan lapang al-Aqsa, terdapat banyak lagi binaan dan monumen lain, seperti mihrab, minbar, kubah, muzium, sekolah dan lain-lain. Semuanya dibina pemerintah Islam dari satu khilafah ke khilafah yang lain sebagai tanda kesan pemerintah­an mereka, selain berfungsi sebagai satu kenyataan identiti Islam dan

Arab di Masjidil al-Aqsa.

Pada tahun ini, sekali lagi sambutan Israk Mikraj di Palestin diraikan ketika masjid suci ketiga umat Islam ini masih berada di bawah penjajahan Israel. Selain itu, ancaman Covid-19 juga melanda wilayah berkenaan. Sehingga tarikh artikel ini disiarkan, hampir 500 penduduk disahkan positif Covid-19. Pihak pengurusan Masjidil Aqsa menutup keseluruha­n masjid yang berbumbung atau tertutup dalam bangunan bagi mengawal penularan wabak ini. Solat berjemaah masih diteruskan di kawasan dataran di belakang Masjid Qibliy dan sof juga dijarakkan.

Semoga Allah memelihara Masjidil Aqsa ini hingga membolehka­n kita solat di sana selepas ia dimerdekak­an semula di bawah panji Islam.

Penulis adalah Ketua Program Sains Kemanusiaa­n Universiti Malaysia Pahang

 ??  ?? MASJIDIL al-Aqsa merupakan satu
kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar.
MASJIDIL al-Aqsa merupakan satu kawasan kompleks berpagar dengan keluasan sekitar 35 ekar.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia