Harian Metro

Pembazir ‘saudara syaitan’

Amalan tidak baik seumpama itu perlu dihindari meskipun kita punyai wang yang mencukupi untuk menyediaka­n juadah yang banyak

-

Pelbagai usaha dilaksanak­an kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tambahan pula tempoh PKP dilanjutka­n sehingga 14 April depan. Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) yang diumumkan perdana menteri membolehka­n rakyat memiliki duit tambahan dalam tangan untuk tempoh PKP dan selepasnya.

Ini semua dilakukan supaya rakyat mengurus perbelanja­an harian selama tempoh PKP dengan lebih selesa. Dalam hal ini, rakyat seharusnya bertindak lebih bijak dalam mengatur perbelanja­an keluarga masing-masing. Usah gelap mata dengan segala kemudahan yang disediakan sehingga kelak mendatangk­an kemudarata­n.

Tatkala berada dalam tempoh PKP, semua ahli keluarga berada dalam rumah. Pendek kata, rutin harian keluarga berubah secara mendadak. Maka antara perkara buruk yang mesti dihindari ialah pembaziran.

Apabila semua orang ada di rumah, terasa betapa besarnya nikmat makan bersama. Jika hari-hari bekerja sebelum ini, sukar untuk mendapat peluang makan tengah hari bersama. Dalam tempoh PKP ini semua ahli keluarga berkumpul di rumah, maka masa makan seharian dinikmati seluruh ahli keluarga.

Malah, pakej lengkap makan sebanyak beberapa kali berlangsun­g di setiap rumah. Mungkin disebabkan keadaan ini, pelbagai juadah disediakan melebihi kuantiti makanan yang mampu dimakan bersama. Usah anggap perkara ini satu amalan biasa.

Amalan tidak baik seumpama itu perlu dihindari meskipun kita punyai wang yang mencukupi untuk menyediaka­n juadah yang banyak. Pembaziran bukan hanya berlaku ketika kita berbelanja sesuka hati dalam keadaan serba kekurangan. Sebenarnya ia juga berlaku apabila perbelanja­an dilakukan melebihi keperluan meskipun ketika diri mempunyai wang yang banyak.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan, sesungguhn­ya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A‘raf, ayat 31)

Pembaziran tidak hanya berlaku membabitka­n makan dan minum. Ia turut boleh berlaku membabitka­n sumber air dan elektrik. Memang benar setiap penggunaan air dan elektrik itu dibayar sendiri oleh kita selaku tuan rumah. Namun penggunaan sumber ini tanpa keperluan juga dikira sebagai satu bentuk pembaziran.

Usah biarkan anak-anak menonton televisyen atau menghadap komputer berjam-jam. Begitu juga dengan

penggunaan air di rumah yang tidak boleh dibazirkan. Ini kerana semua sumber terbabit perlu dibayar menggunaka­n wang. Jika penggunaan sumber terbabit dapat dikawal, sudah tentu ia menjimatka­n kos pembayaran­nya pada akhir bulan nanti.

Ingat bahawa perbuatan membazir atau boros dalam berbelanja dilarang oleh Islam. Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhn­ya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat

27)

Label ‘saudara syaitan’ yang diberikan Allah bagi golongan yang boros dan melakukan pembaziran adalah satu label yang amat berat. Ayat ini secara jelas menunjukka­n bahawa pembaziran adalah hal yang wajib dijauhi. Atas asas ini ulama menjatuhka­n hukum haram bagi sebarang bentuk pembaziran.

Selain itu, pembaziran juga boleh berlaku dalam pengurusan masa. Tempoh PKP sekarang memberi ruang kepada ramai orang untuk berada di rumah bersama keluarga dan memanfaatk­annya bersama. Ibu bapa perlu memastikan setiap ahli keluarga masing-masing memanfaatk­an masa sebaiknya dengan perkara berfaedah di dalam rumah.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari yang bermaksud: “Ada dua nikmat yang membuatkan kebanyakan manusia tertipu dengan kedua-duanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.” Benarlah, setiap detik masa yang kita lalui, semuanya akan dihitung Allah secara adil di akhirat kelak.

Justeru, mari sama-sama kita menjaga diri dan keluarga supaya terhindar daripada melakukan pembaziran yang dilarang oleh Islam. Bagaimapun, dalam usaha mengekang pembaziran, jangan pula ada yang bersifat kedekut kerana ia turut dilarang Allah.

Firman Allah bermaksud: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanja­kan hartanya, tidaklah melampaui batas dan tidak pula kedekut dan (sebaliknya) perbelanja­an mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan kedekut) itu.” (Surah al-Furqan,

ayat 67)

Penulis adalah pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia