Harian Metro

Waris gesa hukuman lebih berat

-

Kuala Lumpur: “Saya mahu pesalah dikenakan hukuman berat kerana tindakan mereka memandu dalam keadaan mabuk mengakibat­kan orang lain kehilangan nyawa,” kata Noorlyana Hasan, 25, adik kepada Zuriana, 35.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi, motosikal dinaiki Zuriana bersama suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 39, dilanggar dari belakang kereta dipandu lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk di Kilometer 140.2 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara berhampira­n susur ke

Perai di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, 9 Februari lalu.

Kejadian itu menyebabka­n Khairizul meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isterinya yang parah dirawat di Hospital Seberang Jaya sebelum disahkan meninggal dunia dua bulan kemudian.

Noorlyana berkata, hukuman yang sepatutnya dikenakan terhadap pesalah itu sepatutnya menyamai hukuman bagi kesalahan bunuh kerana ia membabitka­n kehilangan nyawa.

“Sejak kebelakang­an ini, makin kerap kita dengar mengenai kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk. Sepatutnya, hukuman berat dikenakan terhadap mereka bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Dia yang juga seorang suri rumah berkata, pemandu yang terbabit dalam kejadian itu langsung tidak tampil untuk meminta maaf selepas insiden berkenaan.

“Apa yang berlaku terhadap kakak dan abang ipar ini mengakibat­kan kehidupan kami sekeluarga terutama lima anak mereka berusia antara 16 tahun hingga satu tahun sembilan bulan teruk terjejas,” katanya.

Sementara itu, Rosidi Saad, 49, ayah kepada Muhamad Syaiful Hilmi, 21, seorang lagi mangsa kemalangan maut akibat pemandu mabuk menegaskan tindakan undang-undang lebih berat perlu dikenakan bagi mengatasi masalah pemandu mabuk.

Untuk rekod, dalam kejadian jam 2.30 pagi, 11 Februari lalu itu, Muhamad Syaiful yang bekerja sebagai juruelektr­ik dan rakannya, Muhammad Amin Najmi Azaman, 19, disahkan meninggal dunia selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 13 Lebuhraya Lingkaran Luar Butterwort­h (BORR) arah Sungai Dua, Butterwort­h, Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Rosidi berkata, undang-undang dan hukuman sedia ada bagi mengatasi isu pemandu mabuk tidak cukup bagi menangani masalah berkenaan.

“Hukuman yang dikenakan sepatutnya bukan sekadar kompaun atau saman kerana perlu ada kesan terhadap tindakan (pemandu mabuk) supaya mereka serik,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, mereka sekeluarga terutama isterinya masih bersedih dengan kejadian menimpa Muhamad Syaiful.

Sepatutnya hukuman berat dikenakan bagi mengelak kejadian

sama berulang

Noorlyana Hasan

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia