Harian Metro

Usah derhaka keputusan

Agong mempunyai hak mutlak tentukan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka

- Oleh Amir Mamat am@hmetro.com.my

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berharap rakyat negeri ini menghormat­i dan taat kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam menentukan pengganti Tun Dr Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketika dihubungi semalam, Sulaiman berkata, setiap keputusan baginda wajar ditaati dan orang ramai, khususnya rakyat Melaka, jangan sesekali menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Saya menghormat­i dan mengalu-alukan pandangan semua pihak, cuma jangan sesekali derhaka kepada setiap keputusan baginda (Yang di-Pertuan Agong).

“Tuanku Yang di-Pertuan Agong mempunyai hak mutlak dalam membuat keputusan berkaitan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP Khoo Poay Tiong menerusi satu portal berita semalam, yang meminta kerajaan negeri menjelaska­n khabar angin mengenai pengganti Mohd Khalil.

Isu pengganti Mohd Khalil menarik perhatian termasuk di media sosial sejak dua minggu lalu yang turut mengaitkan nama bekas Ketua Menteri Tan Sri Mohd Ali Rustam sebagai pengganti.

Selain Mohd Ali, nama lain yang disebut-sebut adalah bekas menteri, Tan Sri Dr Rais Yatim, bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan bekas Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad), Zahid Md Arip.

Mohd Khalil, 82, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam pada 2 Jun 2004 dan mengangkat sumpah jawatan itu pada 4 Jun 2004 bagi menggantik­an Tun Syed Ahmad Shahabudin.

Khidmat Mohd Khalil untuk penggal keempat disambung semula pada 27 Mei 2016 sehingga 4 Jun ini.

 ??  ?? DR Rais
DR Rais
 ??  ?? MOHD Anwar
MOHD Anwar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia