Harian Metro

22 warga China dituduh promosi judi dalam talian

-

Petaling Jaya: Seramai 22 warga China termasuk dua wanita dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mempromosi perjudian dalam talian melalui laman web, awal bulan ini.

Semua tertuduh yang berumur antara 23 dan 31 tahun bagaimanap­un mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan

Majistret Nor Ariffin Hisham dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di No D-15-13 dan E-12-16, Pacific Place 1A/4A, Off Lapangan Terbang Subang di Petaling Jaya pada jam 12 dan

12.30 tengah hari, 9 Mei lalu.

Semua tertuduh yang ditangkap pada hari kejadian, didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun serta denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi yang dirampas jika sabit kesalahan.

Bagi prosiding membabitka­n 10 tertuduh di hadapan Nor Ariffin, majistret itu membenarka­n semua mereka dibebaskan dengan jaminan RM8,000 dan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 13 Julai hadapan untuk sebutan semula kes.

Beliau turut memerintah­kan kesemua pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain mereka perlu melapor diri di balai polis berhampira­n sebulan sekali sehingga kes selesai.

Bagi 12 tertuduh termasuk dua wanita yang didakwa di hadapan Zhafran, majistret itu membenarka­n kesemua mereka diikat jamin RM3,000 dan dua penjamin warga tempatan serta menetapkan 9 Julai hadapan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan di kedua-dua mahkamah dikendalik­an Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurraz­i Ahmad Salim dan Siti Zubaidah Mahat manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Nur Aminahtul Marrdhiah Md Nor dan Lim Chee Chung.

Media sebelum ini melaporkan penahanan 22 warga China dipercayai terbabit dengan sindiket perjudian dalam talian di sebuah premis di Ara Damansara di sini, yang mensasarka­n mangsa dari negara itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia