Harian Metro

Lebaran hambar, lengang

Penduduk Palestin akan terus gagah berdiri berdepan satu lagi Ramadan, satu lagi tahun dan satu lagi abad tanpa tunduk dan mengalah, sehinggala­h tanah air milik kita dan mereka ini dapat dibebaskan

-

Apabila ditanya bagaimana saya bertahan di Gaza selama lapan tahun dalam keadaan kepungan dan kesempitan, jawapan saya mudah. Untuk menjadi berlian, campakkan diri keluar dari ruang selesa dan letakkan diri di dalam tekanan. Mudahnya paksa diri untuk berada dalam kesempitan barulah potensi sebenar dapat ditonjolka­n.

Itu sebenarnya yang dibuat penduduk Gaza. Mereka insan biasa seperti kita, tetapi mereka tercampak ke dalam situasi luar biasa. Mereka juga mahukan masa depan, kebebasan dan kemudahan yang dinikmati insan lain, tetapi keadaan mereka tidak membolehka­n mereka mengecapi semua yang diimpikan. Lebih ketara di hari raya yang ‘dicipta’ untuk anak-anak bergembira.

Seorang penduduk, Abu

Mahmud yang ditemui dalam jelajah Ramadan kami hampir berputus asa apabila tujuh anaknya terpaksa dibesarkan di dalam reban kecil yang usang, satu-satunya tempat berteduh yang mereka ada. Abu Mahmud mengejutka­n kami apabila berkata, “Saya hanya mengharapk­an untuk mati. Sekurang-kurangnya kalau saya mati anak-anak saya akan diberikan bantuan sebagai anak yatim.”

Ia doa yang cukup meruntun hati, tetapi ia bukan terlalu ganjil. Memang ramai yang ditemui berkata, alangkah baiknya kalau Ramadan kali ini berlaku serangan ke atas Gaza seperti tahun-tahun yang sebelum ini kerana paling kurang dunia akan mengingati mereka dan menyalurka­n sedikit bantuan untuk mereka meneruskan kehidupan.

Di pasar dan kedai-kedai yang memenuhi bandar Gaza juga keadaan hambar dan lengang, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Jika kadangkala pada malam-malam terakhir menjelang Aidilfitri jalan raya dipenuhi manusia, hakikatnya ia tidak membawa rezeki lebih kepada peniaga.

Munzir Al-Basal, penjual di bandar Gaza menjelaska­n sebabnya.

Katanya, penduduk yang biasanya membeli kasut dengan nilai 100 shekel kini mencari kasut bernilai 10 shekel untuk anak-anak mereka. Malah, mereka hanya membawa anak-anak melihat mainan, dicuba dan dibelek seolah-olah untuk memuaskan hati mereka tanpa mampu membeli apa-apa.

Pemandu teksi Abdullah Mushtaha menyebutka­n bahawa kemiskinan dan wabak Covid-19 cukup memberi kesan kepada suasana perayaan pada tahun ini.

“Mereka yang mempunyai duit takut untuk keluar dan yang lain pula memang tidak mempunyai upaya untuk berbelanja,” katanya.

Hanya sesekali kelihatan tawa gembira anak-anak yatim dan miskin di sebahagian kedai apabila disua duit raya dan dibelikan mereka baju baru - baju yang ditukar setahun sekali - oleh ratusan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkhidmat di Gaza. Cuma Gaza yang populasiny­a seramai dua juta orang, dengan 80 peratus atau 1.6 juta penduduk bergantung kepada bantuan NGO untuk makan setiap hari ibarat perigi yang tak akan penuh kalau diisi.

Kesakitan inilah yang kami daripada Cinta Gaza Malaysia dan puluhan NGO Malaysia yang diwakili cuba untuk menyantuni sepanjang Ramadan dengan bantuan hampir RM2 juta yang disalurkan. Bantuan yang cukup kecil dan hampir tidak mengubah apa-apa buat mereka melainkan mengukir senyum sementara.

Yang pasti, mereka akan terus gagah berdiri berdepan satu lagi Ramadan, satu lagi tahun dan satu lagi abad tanpa tunduk dan mengalah, sehinggala­h tanah air milik kita dan mereka ini dibebaskan. Mereka akan terus bersinar dan menjadi teladan buat semua kerana mereka adalah berlian.

Mewakili penduduk Palestin, saya mengucapka­n terima kasih atas semua sumbangan dan tanda solidariti kalian dan Selamat Menyambut Hari Lebaran kepada semua, minal a’idin wal faizin.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal di Gaza dan pengasas NGO Cinta Gaza Malaysia serta Wisma Malaysia Palestin. Sumbangan secara terus kepada penduduk Gaza boleh disalurkan melalui akaun rasmi NGO Cinta Gaza, Maybank 5648105078­26.

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia