Harian Metro

PEKERJA KURIER MAUT REMPUHAN

- Oleh Nor Azizah Mokhtar bhnews@bh.com.my

Seorang pekerja syarikat kurier maut manakala rakannya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh pemandu mabuk di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n menghala ibu negara dekat Kuala Lumpur, awal pagi, semalam.

Dalam kejadian jam 6 pagi, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan, kedua-dua mangsa rakan sekerja dan tinggal serumah dan mangsa yang meninggal dunia dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya.

Ketika kejadian, kedua-duanya baru habis bertugas dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di ibu negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil siasatan mendapati pemandu kereta berkenaan hilang kawalan dan bertindak melanggar motosikal mangsa yang berada di laluan motosikal.

“Pembonceng motosikal, lelaki berusia 42 tahun maut di tempat kejadian manakala penunggang motosikal, lelaki berusia 30 tahun parah dan dikejarkan ke PPUM.

“Pemandu kereta seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta berusia 22 tahun. Dia tidak cedera,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, siasatan mendapati pemandu terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan menerusi hasil ujian kandungan alkohol yang dijalankan mendapati paras arak dalam tubuhnya tinggi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Dalam pada itu, Nik Ezanee berkata, pihaknya menerusi Op Alkohol akan memperheba­tkan lagi usaha mengekang dan membantera­s kesalahan membabitka­n pengguna jalan raya terutama mereka yang berada di bawah pengaruh alkohol.

“Ini kerana mereka boleh membahayak­an keselamata­n orang ramai dan boleh mengakibat­kan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

 ??  ?? POLIS membuat ujian alkohol ke atas pemandu kereta dipercayai mabuk.
LOKASI kemalangan maut di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n menghala ibu negara
awal pagi, semalam.
POLIS membuat ujian alkohol ke atas pemandu kereta dipercayai mabuk. LOKASI kemalangan maut di Kilometer 34.2 Lebuhraya Persekutua­n menghala ibu negara awal pagi, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia