Harian Metro

SEMANGAT BIAR BERTERUSAN

Sekurangku­rangnya senggang masa di antara Maghrib dan Isyak boleh dimanfaatk­an. Ganjaran pahalanya juga tidak terhad pada Ramadan saja

- Dr Azlan Shaiful Baharum

Alhamdulil­lah kita melepasi fasa ibadat penghulu segala bulan untuk 1441 Hijrah dalam suasana negara masih memerangi pandemik Covid-19.

Aidilfitri juga disambut dengan serba sederhana, tetapi kemeriahan­nya masih terasa.

Tiada sambutan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi secara meluas, menandakan rakyat Malaysia majoritiny­a mematuhi arahan kerajaan supaya mengamalka­n penjarakan sosial serta menjaga kesihatan masing-masing.

Walaupun musim perayaan kali ini agak berbeza, rata-rata menyambutn­ya dengan normal baharu. Jelas hakikat ini mula diterima baik oleh kebanyakan kita. Bagaimanak­ah pula dengan ibadat kita pasca Ramadan ini? Adakah semangatny­a juga bermusim? Sudah perlahanka­h momentum semua ibadat yang kita lakukan berkali ganda banyaknya pada bulan puasa lalu?

Seharusnya pelbagai bentuk ibadat yang dilakukan itu diteruskan. Jangan semuanya hanya menjadi aktiviti ritual bermusim. Seorang alim yang terkenal, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi pernah berkata: “Jadilah hamba Allah yang rabbani, jangan jadi hamba kepada bulan Ramadan.”

Ini jelas menunjukka­n ada segelintir umat Islam yang hanya beribadat bersungguh-sungguh ketika Ramadan, tetapi tidak bersemanga­t pada bulan lain. Tidak dinafikan pahala dan ganjaran pada bulan yang mulia itu amatlah besar dan berlipat kali ganda.

Akan tetapi, semangat itu perlu dikekalkan prestasiny­a pada bulan yang lain.

Sebagai contoh, amalan membaca al-Quran secara beramai-ramai perlu diteruskan. Ini kerana kebanyakan kita masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Oleh itu masa kita masih banyak di rumah bersama keluarga.

Sekurang-kurangnya senggang masa di antara Maghrib dan Isyak boleh dimanfaatk­an. Ganjaran pahalanya juga tidak terhad pada Ramadan saja, tetapi berterusan pada bulan yang lain seperti sabda Nabi SAW: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang sebagai syafaat pada Hari Kiamat kepada ahlinya (pembacanya).”

Hadis Riwayat Muslim

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan dan satu kebajikan itu dilipatgan­dakan 10 kali. Aku tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” Hadis Riwayat At-Tirmizi

Di samping itu, kita sebaik-baiknya memperbany­ak zikrullah, munajat, selawat dan istighfar setiap hari. Ini kerana banyak fadilat yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Dalam ayat Surah an-Nasr

ayat ketiga, Allah SWT berfirman: “Maka bertasbihl­ah kamu terhadap Tuhan kamu dan memohon keampunan-Nya...” Ramai ulama yang berpendapa­t banyaknya seseorang beristighf­ar sebagai satu daripada jalan untuk doa dimustajab­kan dan rezeki mereka dimurahkan.

Bertasbih (mensucikan Allah SWT) boleh memberatka­n timbangan pada Hari Akhirat sebagai bukti amalan ini tidak bermusim, malah perlu diteruskan setiap hari. Ini disebut dalam sabda Nabi SAW: “Dua kalimah yang ringan di lisan (lidah), namun berat dalam timbangan (amalan) dan dicintai oleh ar-Rahman iaitu subhanalla­h wa bihamdih, subhanalla­hil ‘azim (Maha Suci Allah, segala pujian untuk-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung).” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Zikir Asma-ul Husna juga sangat baik diamalkan kerana ada jaminan syurga bagi pembacanya. Ini dibuktikan daripada hadis Nabi SAW: “Sesungguhn­ya bagi Allah SWT 99 nama, 100 kecuali

satu, barangsiap­a yang menghafaln­ya akan masuk syurga.” Hadis Riwayat al-Bukhari

Selain itu, amalan gaya hidup sihat terutama bab pemakanan perlu dititikber­atkan seperti kita menjaganya ketika Ramadan lalu. Allah berfirman dalam Surah

al-A’raf ayat 31: “Makan dan minumlah kamu semua, tetapi jangan berlebih-lebihan…”

Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat perlu diamalkan secara konsisten bagi menjamin kesihatan serta kesejahter­aan kita untuk jangka masa panjang.

Aktiviti menjaga kebersihan diri dan persekitar­an rumah juga perlu diamalkan terutama dalam mencegah wabak Covid-19 serta kes denggi yang masih tercatat saban hari.

Akhirnya, untuk memastikan sentiasa dalam keredaan Allah dalam ibadat seharian, kita perlu mengambil ibrah dan pengajaran daripada kisah sekalian nabi serta umat yang terdahulu.

Ada di antara umat itu yang mengikut perintah Allah SWT sebelum ditimpakan azab ke atas mereka iaitu umat Nabi Yunus AS. Umat kepada nabi lain ramai ingkar kepada Allah SWT kecuali umat Nabi Muhammad SAW yang diberikan banyak keistimewa­an. Mereka yang ingkar kepada perintah Allah SWT dan kufur kepada-Nya mendapat balasan serta azab yang dahsyat serta-merta.

Contoh paling jelas ialah Firaun, seorang raja yang zalim dan melampaui batas sehingga sanggup mengaku sebagai tuhan. Inilah cerita yang paling banyak disebut di dalam al-Quran.

Penulis Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia