Harian Metro

KETUPAT EMAK MASIH DALAMPETI SEJUK

Tidak pulang rai Aidiladha bersama ibu

- Oleh Ridzuan Abdul Rahman mohamadrid­zuan@hmetro.com.my

“Ya Allah, Subuh pagi ini teringat sangat kat mak. Selalu mak duk (akan) marah kalau bangchik duk (kerap) bangun lambat sembahyang.

“Hari ini bangun mak dah tak ada. Tak ada lagi kelibat mak duk (sedang) cuci sangkar kucing, siram pokok bunga. Rindunya bangchik dengan mak.

“Tuhan saja tahu perasaan rindu dan sedih ini. Terasa kehilangan sangat besar.”

Demikian luahan perasaan penyanyi Ezad Lazim di Facebook terhadap pemergian ibunya, Rosadah Jahaya, 69, yang meninggal dunia kelmarin.

Rosadah, rebah ketika mahu mengambil wuduk untuk solat Subuh di rumahnya di Taman Wira, Mergong, Alor Setar, Kedah.

Ezad berkata, dia terkilan kerana tidak pulang meraikan Aidiladha bersama ibunya, baru-baru ini.

“Emak tanya, tapi memandangk­an saya dah balik selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan berada agak lama di kampung, saya buat keputusan ini.

“Semasa balik tempoh hari, saya bawa emak tengok rumah baharu kami di Kota Warisan, Sepang. Itu kali pertama dia keluar selepas abah tiada setahun lalu.

“Lebih kurang seminggu emak berada di sini sebelum pulang ke Kedah. Selain itu, saya tak balik kampung masa raya kerana keadaan kesesakan jalan yang teruk.

“Saya tak sangka emak pergi mengejut. Sebelum ini emak beritahu rindukan arwah abah dan cakap ingin ikut abah.

“Saya ingat itu cakap-cakap biasa kerana emak tiada sakit serius kecuali darah tinggi, tapi stabil.

“Pagi semalam (kelmarin) saya dikejutkan dengan panggilan adik bongsu, Rizal yang menelefon sambil menangis beritahu emak tak sedarkan diri. Saya dah panik ketika itu,” katanya.

Ezad berkata, kali terakhir ibu bercakap dengan kakaknya, Rozaimah menyatakan hasrat melakukan badal haji serta kenduri arwah sempena setahun pemergian ayah mereka 6 Ogos lalu.

“Abah meninggal 6 Ogos 2019, manakala emak 7 Ogos (kelmarin), tapi tarikh kebumi mereka sama iaitu 7 Ogos.

“Emak kata seronok tengok orang meninggal pada Jumaat dan sekarang gilirannya. Saya terharu apabila ramai peminat mendoakan emak.

“Agak menyayat hati kerana emak buat ketupat dan rendang kalau kami balik raya. Ketupat dan rendang itu masih ada dalam peti sejuk,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? EZAD (kanan) menziarahi pusara ibunya.
EZAD (kanan) menziarahi pusara ibunya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia