Harian Metro

HARUS DIGUNAKAN UNTUK FADILAT AMAL

Pendapat membariska­n Imam al-Bukhari dalam senarai ulama yang menolak hadis daif secara total pula adalah tersilap kerana kitab al-Adab al-Mufrad susunannya jelas turut memuatkan hadis daif

- Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

Dalam disiplin ilmu Islam, istilah cukup memainkan peranan penting. Ini kerana setiap istilah mempunyai definisi yang tersendiri. Memahami sesuatu istilah di luar definisiny­a yang sebenar boleh menyebabka­n kekeliruan dan kesalahfah­aman terhadap sesuatu perkara.

Kalimah daif, meskipun memberi makna ‘lemah’ dari segi bahasa namun dari segi istilah ilmu hadis, ia bukan bermakna lemah. Barangkali kita pernah mendengar ada yang berkata: “Hadis daif ini lemah dan ditolak!”

Saya katakan hadis daif lemah dari segi makna bahasa saja, tetapi dari segi istilah, hadis daif bukan hadis yang lemah. Menurut istilah ilmu hadis, hadis daif ialah ‘hadis yang tidak mencukupi syarat hadis sahih mahupun hasan.’

Ini bermaksud jika ada ulama mengatakan sesuatu hadis itu daif maka ia bererti hadis berkenaan tidak memenuhi syarat hadis sahih yang lima kerana berlaku kelompanga­n padanya. Iaitu sama ada kerana sanad hadis tidak bersambung, ada perawi tidak bersifat adil, ada perawi tidak menjaga hadisnya dengan baik, terdapat keraguan pada hadis ataupun terdapat kecacatan padanya.

Apabila berlaku salah satu daripada lima perkara itu maka hadis akan tergolong dalam kategori mardud (ditolak). Ditolak pula bukan bererti perlu dibuang, ‘ditongsamp­ahkan’ atau dinafikan sama sekali, tetapi bermaksud ditolak keluar daripada kategori maqbul (diterima) dan ditolak sebagai hujah serta dalil kerana belum terbukti sifat benarnya.

Walaupun hadis daif tidak memenuhi syarat sah dan belum terbukti benar, jika ada tanda kemungkina­n yang muktabar padanya, ia masih boleh diambil kira oleh ulama. Aspek kemungkina­n ini adalah faktor utama yang mendorong ulama memperinci­kan secara halus perbahasan mengenai hadis daif.

Malah, bagi memperhalu­sinya, ada yang membahagik­an hadis daif kepada lebih daripada 40 jenis. Berdasarka­n definisi ulama hadis terhadap hadis daif dan wujudnya aspek kemungkina­n itu, banyak hukum yang terkait dengan perbincang­an hadis daif.

Antaranya, sesuatu hadis boleh jadi daif dari segi sanad sahaja, tetapi sahih dari segi makna matannya disebabkan ia disokong dan diperkuatk­an dengan nas atau dalil lain.

Hadis daif juga tidak boleh diguna pakai dalam bab akidah dan hukum namun harus diguna pakai dalam bab fadilat amal atau yang tiada berkaitan dengan akidah serta hukum seperti motivasi, sirah, akhlak, adab, doa dan zikir.

Aspek fadilat amal dan seumpamany­a itu dikhususka­n kerana ia adalah hal sampingan dan tiada berkaitan dengan pembinaan asas baharu dalam perkara akidah dan hukum agama. Hukum boleh beramal dengan hadis daif dalam aspek itu adalah ketetapan yang disepakati oleh ulama. Antara tokoh yang menyatakan demikian secara jelas ialah Imam an-Nawawi, katanya: “Para ulama bersepakat bahawa harus beramal dengan hadis daif dalam bab fadilat amal.”

Pernyataan ini disebut oleh Imam an-Nawawi di dalam beberapa karyanya seperti al-Arba‘in al-Nawawiyyah, al-Azkar, al-Tarkhis fil-Ikram bil-Qiyam dan kitab al-Majmu’. Secara zahir, ia menunjukka­n bahawa beliau belum pernah melihat ada perselisih­an pendapat dalam kalangan ulama sebelumnya mengenai masalah itu.

Jika tidak, sudah pasti beliau akan menyatakan terdapat khilaf ulama mengenainy­a. Oleh itu, boleh dikatakan ulama sehingga zaman Imam an-Nawawi tidak berselisih pendapat mengenai keharusan beramal dengan hadis daif dalam bab fadilat amal.

Pendapat membariska­n Imam al-Bukhari dalam senarai ulama yang menolak hadis daif secara total pula adalah tersilap kerana kitab al-Adab al-Mufrad susunannya jelas turut memuatkan hadis daif.

Begitu juga pendapat yang membariska­n Ibn al-‘Arabi dalam senarai itu juga tertolak dengan adanya penggunaan hadis daif di dalam sebahagian karyanya.

Malah, Ibn al-‘Arabi yang bermazhab Maliki menerima hadis mursal sebagai hujah sedangkan ia dianggap daif oleh kebanyakan ulama hadis.

Perbincang­an mengenai isu beramal dengan hadis daif selanjutny­a diperincik­an lagi oleh Imam Ibn Hajar. Beliau menggarisk­an tiga syarat untuk beramal dengannya. Pertama, tahap kedaifanny­a tidak terlalu berat. Kedua, ia termasuk di bawah dasar umum yang disyariatk­an. Ketiga, tidak meyakini sebagai sahih ketika beramal dengannya, tetapi berhati-hati kerana aspek kemungkina­n yang terdapat padanya.

Jelasnya, hadis daif adalah hadis yang tidak memenuhi ciri sahih namun bukannya hadis palsu.

Pemahaman hadis daif sebagai hadis yang lemah dan ditolak begitu saja adalah pemahaman yang kurang tepat dan perlu diluruskan.

Ia bertentang­an dengan konsep sebenar hadis daif di sisi ulama.

 ??  ?? PEMAHAMAN hadis daif sebagai hadis yang lemah dan ditolak begitu saja adalah pemahaman kurang tepat serta perlu diluruskan.
PEMAHAMAN hadis daif sebagai hadis yang lemah dan ditolak begitu saja adalah pemahaman kurang tepat serta perlu diluruskan.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia