Harian Metro

MASYARAKAT PERLU SENTIASA CAKNA

Dalam menangani penyebaran hadis palsu, beberapa langkah untuk mengatasin­ya wajar diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama

-

Sanad antara komponen penting dalam proses penilaian hadis. Melalui sanad, dapat dibezakan antara perawi yang dapat dipercayai, kurang dipercayai atau tidak boleh dipercayai.

Melalui sanad, ulama hadis dapat mengesan hadis palsu iaitu hadis yang direka cipta dan disandarka­n secara dusta kepada Rasulullah SAW.

Hukum mereka cipta dan menyebarka­n hadis palsu adalah haram serta berdosa besar. Nabi SAW melarang dan memberi ancaman keras terhadap orang yang mencipta hadis palsu.

Sabdanya: “Barang siapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja maka tempahlah tempat duduknya daripada api neraka.”

Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Hadis palsu mula dikesan muncul sejak kurun pertama Hijrah lagi. Dengan penyebaran hadis palsu yang semakin luas, ulama hadis berusaha menapis hadis yang diriwayatk­an oleh perawi hadis.

Selain melalui sanad, hadis palsu juga boleh dikesan dengan cara mengenal pasti keraguan pada matan hadis, seperti bercanggah dengan al-Quran, hadis sahih, ijmak ulama atau syarak.

Hadis palsu muncul disebabkan pelbagai faktor seperti taasub kepada sesuatu kumpulan, jahil mengenai hukum haram berdusta ke atas Nabi SAW, perselisih­an antara aliran pemikiran, mencari habuan duniawi, benci kepada Islam dan sebagainya.

Tidak dinafikan, penyebaran hadis palsu yang berleluasa dan tidak terkawal boleh menyumbang kepada masalah umat serta mengugat ketulenan ajaran Islam. Namun, sekiranya ia dapat diawasi dan dipantau dengan baik, penyebaran­nya akan dapat dibendung dan dikawal.

Oleh itu, mengenal pasti hadis disepakati palsu oleh ulama adalah penting dan perlu bagi pihak berkuasa agama yang bertanggun­gjawab terhadap hal ehwal umat Islam.

Dalam mengenal hadis palsu, masyarakat awam sebenarnya tidak perlu dibebankan dengan tugas yang menjadi tanggungja­wab ulama. Ini sebagaiman­a dalam isu dan permasalah­an agama yang lain juga. Bukan masyarakat yang mengeluark­an fatwa, sebaliknya pihak muftilah yang lebih utama dan berautorit­i dalam menetapkan sesuatu fatwa atau hukum agama.

Jika sesuatu hadis jelas dinilai palsu seperti diriwayatk­an oleh pendusta atau pemalsu hadis atau menyalahi nas syarak yang sabit dan tidak dapat ditakwil, haram hukumnya jika disebarkan.

Dalam menangani penyebaran hadis palsu, beberapa langkah untuk mengatasin­ya wajar diberi perhatian oleh pihak berkuasa agama.

Pertama, memberi perhatian terhadap penerangan status sesuatu hadis. Ulama hadis dahulu seperti al-Zayla‘i, al-‘Iraqi, Ibn Hajar, as-Sakhawi dan Ibn Qutlubugha menunjukka­n contoh serta panduan bagaimana untuk membendung hadis palsu iaitu dengan melakukan takhrij hadis terhadap kitab yang pengarangn­ya tidak menyatakan sumber hadis.

Usaha mentakhrij­kan hadis sesebuah kitab adalah tindakan yang betul dan terbaik, bukan dengan cara mengharamk­an terus penyebaran kitab terbabit kerana barangkali ia sumber rujukan penting di dalam bidangnya. Dengan menerangka­n status hadis di dalam kitab berkenaan, penyebaran hadis palsu akan dapat dicegah dan dikawal.

Kedua, menyediaka­n khidmat penjelasan mengenai hadis kerana masyarakat perlu merujuk kepada tempat rujuk yang betul mengenai hadis. Perlu diketahui setiap ilmu itu ada ahli dan pakar rujuknya. Oleh itu, rujukkanla­h setiap bidang ilmu kepada ahli dan pakarnya. Hadis yang dinilai palsu oleh ulama hadis tanpa sebarang kritikan dan bantahan hendaklah diterima sebagai satu penilaian yang jelas.

Ketiga, menetapkan kepada penceramah penggunaan kitab hadis yang muktabar antaranya kitab al-Arba‘in an-Nawawiyyah, Riyadhus Salihin, al-Azkar, al-Adab al-Mufrad, Mukhtasar

Ibn Abi Jamrah, Jawahir al-Bukhari, as-Syama’il al-Muhammadiy­yah, Bulugh al-Maram, Muntakhab al-Ahadith dan Bahr al-Mazi.

Penggunaan kitab hadis yang kurang muktabar pula perlulah dielakkan seperti Mukhtar al-Ahadith, Lubab al-Hadith, al-Isti’dad li-Yawm al-Ma’ad, Daqa’iq al-Akhbar, Durrah an-Nasihin dan seumpamany­a.

Meskipun bukan tanggungja­wab masyarakat untuk mengkaji hadis, mereka disarankan sentiasa bersikap cakna terhadap hadis yang diguna pakai, sebagaiman­a mereka perlu bersikap cakna terhadap al-Quran dari segi pembaikan hukum tajwid serta pengertian isi kandungann­ya.

Serba sedikit, masyarakat wajar mempunyai kefahaman mengenai disiplin hadis agar dapat membezakan antara hadis yang sahih dan tidak sahih berpanduka­n petunjuk ulama.

Pendakwah dan penceramah juga perlu mengelakka­n diri daripada menyampaik­an riwayat palsu kepada masyarakat kerana apa yang disampaika­n pastinya akan menjadi pegangan atau amalan buat mereka.

Usaha membersihk­an hadis daripada sebarang pembohonga­n adalah hak Nabi SAW yang patut diutama dan didahuluka­n berbanding hak orang lain. Tanggungja­wab yang mulia ini sewajarnya diberi sokongan oleh semua pihak.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

 ??  ?? DALAM mengenal hadis palsu, masyarakat awam sebenarnya tidak perlu dibebankan dengan tugas menjadi tanggungja­wab ulama.
DALAM mengenal hadis palsu, masyarakat awam sebenarnya tidak perlu dibebankan dengan tugas menjadi tanggungja­wab ulama.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia