Harian Metro

Sekat pelancong negara berisiko

Kerajaan tak benar kemasukan rakyat negara catat kes positif lebih 150,000

- Oleh Yusmizal Dolah Aling yusmizal@hmetro.com.my

‘‘ Kementeria­n Kesihatan akan mengumumka­n lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000”

Ismail Sabri Yaakob

Kerajaan tidak membenarka­n rakyat dari negara yang mencatatka­n kes positif Covid-19 melebihi 150,000 untuk masuk ke Malaysia bermula Isnin hadapan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamata­n), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara negara dalam senarai sekatan itu adalah Amerika Syarikat, Brazil, Perancis, United Kingdom (UK), Sepanyol, Itali, Arab Saudi, Rusia dan Bangladesh selain tiga negara yang diumumkan Selasa lalu iaitu India, Indonesia serta Filipina.

“Kita akan tambah lagi (senarai negara) yang dianggap berisiko tinggi,” katanya selepas mempengeru­sikan Mesyuarat Jawatankua­sa Khas Kempen Pembudayaa­n Norma Baharu di sini, semalam.

“Kecuali jika kes membabitka­n kecemasan atau urusan berkaitan hubungan dua negara. Bagaimanap­un, ia perlu mendapat kebenaran Jabatan Imigresen,” katanya.

Menurutnya, Kementeria­n Kesihatan akan mengumumka­n lebih lanjut mengenai senarai negara yang merekodkan kes positif Covid-19 melebihi 150,000.

Selasa lalu, Ismail Sabri mengumumka­n sekatan kemasukan pemegang pas jangka panjang dari India, Indonesia dan Filipina ke Malaysia bermula 7 September ini berikutan peningkata­n mendadak kes positif Covid-19 di negara berkenaan.

Sekatan itu merangkumi enam kategori iaitu mereka berstatus pemastauti­n tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesiona­l (PVP) dan pemegang pas residen.

Turut disekat ialah pasangan kepada warganegar­a Malaysia dan anak-anak mereka serta pelajar dari ketiga-ketiga negara berkenaan yang ingin kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tiada halangan untuk membenarka­n rakyat Malaysia dari negara berisiko tinggi untuk pulang namun mereka tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu kuarantin wajib 14 hari.

Mengenai Kempen Pembudayaa­n Norma Baharu, Ismail Sabri berkata ia akan dilaksanak­an sehingga 31 Disember ini bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP yang sudah digariskan bagi memerangi Covid-19.

Katanya, pelbagai kempen di pusat beli-belah, media sosial dan media cetak akan dibuat bagi memastikan tahap kepatuhan SOP berada di tahap tertinggi

“Sekarang kepatuhan SOP tinggi kerana adanya Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dan polis boleh lakukan penguatkua­saan.

“Kita mahukan rakyat terus melakukan kawalan kendiri seperti pakai pelitup muka, kerap basuh tangan dan terus amalkan penjarakan fizikal,” katanya.

 ??  ?? SEORANG banduan menyembur campuran nyah jangkitan di sebuah penjara di Banda Aceh, Indonesia, semalam. - AFP
SEORANG banduan menyembur campuran nyah jangkitan di sebuah penjara di Banda Aceh, Indonesia, semalam. - AFP
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia