Harian Metro

AIR MATA SI ASKAR

Anggota Malbatt berkejar dari Lubnan untuk berada di samping isteri sakit tenat hanya sempat tatap jenazah buat kali terakhir

- Amran Yahya am@hmetro.com.my

“Sejak akhir-akhir ini arwah sering memberitah­u rindukan suaminya namun tidak sangka arwah pergi terlebih dulu tanpa menatap wajah suami,” kata Norzita Lemchek, 49, ibu mentua kepada Lans Koperal Mohd Noh Samsudin, 25.

Mohd Noh adalah anggota pasukan pengaman Batalion Malaysia 850-7 (Malbatt 850-7) yang menyertai misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan dan dibenarkan pulang bagi ‘bertemu’ isterinya buat kali terakhir kelmarin.

Namun, beliau hanya sempat menatap jenazah isterinya sebelum dikebumika­n.

Beliau juga terpaksa memakai PPE (sut perlindung­an diri) ketika menziarahi jenazah isterinya sebelum pulang semula ke pusat kuarantin.

Isteri Mohd Noh, Norhidayah Amishammud­in, 25, sebelum ini disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak tiga tahun lalu bagaimanap­un seminggu terakhir ini doktor mengesahka­n arwah menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.

Beberapa gambar Mohd Noh memakai PPE sambil melihat jenazah isterinya tersiar dalam FB Malbatt 850-7 dan tular laman sosial hingga mendapat simpati netizen.

Norzita berkata, menantunya itu dibenarkan menziarahi dan memberi penghormat­an terakhir kepada isterinya kelmarin dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, Mohd Noh sepatutnya menamatkan misi pada awal bulan hadapan namun terpaksa pulang awal susulan keadaan arwah isterinya yang kritikal sejak seminggu lalu.

“Walaupun dia mendarat awal di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 3 petang kelmarin namun dalam kita bergelut dengan wabak Covid-19, dia tidak terkecuali melalui SOP yang ditetapkan KKM,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rumah Rakyat Air Mawang di sini, semalam.

Allahyarha­m selamat dikebumika­n di Tanah Perkuburan Islam Makam Tok Gobah, Air Mawang sebelum solat Jumaat, semalam.

Pasangan ini berkahwin tiga tahun lalu namun belum dikurniaka­n cahaya mata.

Terdahulu melalui FB Malbatt 850-7 memaparkan beberapa gambar Mohd Noh yang diberi kesempatan melihat isterinya buat kali terakhir.

 ??  ?? NORZITA menunjukka­n gambar kenangan Allahyarha­m Norhidayah bersama suaminya, Mohd Noh.
NORZITA menunjukka­n gambar kenangan Allahyarha­m Norhidayah bersama suaminya, Mohd Noh.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia