Harian Metro

Geng CD Dragon curi kenderaan tumpas

-

Kulim:

Kegiatan Geng CD Dragon yang dipercayai aktif mencuri kenderaan di sini dan Pulau Pinang sejak dua bulan lalu tumpas selepas mereka ditahan polis di sebuah rumah di Kampung Naga Lilit, Padang Serai, kelmarin.

Seorang lelaki dan dua wanita berusia 23 hingga 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim serta IPD Seberang Perai Tengah dibantu anggota Balai Polis Padang Serai, jam 5 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superinten­dan Azhar Hashim berkata, penahanan mereka dilakukan susulan laporan polis yang dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun selepas menyedari kereta Honda Civic milik ibunya yang parkir di luar rumah mereka di sini di dapati hilang dipercayai dicuri.

Menurutnya, mangsa yang juga juruteknik menyedari kehilangan kereta itu jam 7.15 pagi pada 27 Ogos lalu.

“Anggaran kerugian yang dilaporkan pengadu adalah RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Azhar berkata, polis turut merampas pisau lipat pelbagai guna, kuku kambing dan tiga kereta untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, tiga kereta yang dirampas itu mempunyai laporan hilang di Machang Bubok, Perai dan Tasek Gelugor.

“Siasatan awal mendapati semua suspek yang ditahan mengaku terbabit dalam kes ini.

“Mereka dikatakan bergiat aktif sejak dua bulan lalu selepas ketua kumpulan itu dikatakan baru keluar penjara,” katanya.

Azhar berkata, suspek lelaki berusia 36 tahun itu mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk dadah dan lima daripadany­a terbabit dalam mencuri kenderaan.

Azhar berkata, semua suspek akan direman pagi ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Polis turut rampas pisau lipat pelbagai guna, kuku kambing dan tiga kereta

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia