Sidang bajet ‘lucah’
Wakil rakyat Thailand lihat gambar tak senonoh di sesi Parlimen
Seorang wakil rakyat Thailand mencetuskan kontroversi memalukan apabila didapati melihat gambar lucah di telefonnya ketika sidang Parlimen berlangsung.
Portal Bangkok Post melaporkan Ronnathep Anuwat sepatutnya memberi perhatian kepada pembentangan belanjawan pada Khamis lalu namun dia dikesan melayari laman web lucah di telefonnya hampir 10 minit.
Malah, dia turut menanggalkan pelitup muka untuk tontonan lebih jelas.
Kejadian itu mengejutkan sekumpulan wartawan di galeri awam parlimen negara itu yang jelas dapat melihat tindakan tidak bermoral Ronnathep.
Tindakan memalukan itu diakui wakil rakyat dari wilayah Chonburi itu yang mengaku melihat gambar itu.
Bagaimanapun, dia memberi alasan pelik apabila mendakwa menerima mesej di aplikasi borak daripada seorang gadis yang ‘meminta pertolongan’ dan ‘menginginkan wang.’
Ronnathep memberitahu media tempatan dia melihat gambar itu secara terperinci untuk memeriksa latar belakang bagi mengetahui adakah gadis itu dalam bahaya.
Dia mengatakan ingin ‘memerhatikan keadaan persekitaran gadis itu dalam gambar.’
Pemerhatian itu perlu dilakukan kerana dia takut diganggu samseng yang memaksanya mengambil gambar.
Dakwanya, dia menyedari gadis itu ‘meminta wang’ sebelum memadamkan semua kandungan perbualan mereka.
Pegawai kerajaan kemudian memanggil Ronnathep untuk mendapatkan penjelasan.
Namun, mereka memutuskan tiada tindakan lebih lanjut terhadapnya.
Ronnathep tidak dikenakan tindakan atas kelakuan itu kerana speaker dewan,
Chuan Leekpai mengatakan perkara itu hal peribadi.
Chuan memutuskan buat masa ini tiada peraturan melarang anggota Parlimen melihat sebarang kandungan pada peranti mereka ketika sidang berlangsung.
Beliau ahli Parlimen Thailand kedua terperangkap melayari laman web lucah ketika persidangan dewan berlangsung.