PROFIL 81,000 DATA KANAK-KANAK
Sistem Pangkalan
Data Kanak-Kanak Kebangsaan (NCDC) menjadi pusat data bersepadu yang beroperasi bagi memprofil maklumat kanak-kanak, ibu bapa, pendidik dan taska di seluruh negara.
Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan KanakKanak (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Dr Mazlina Che Mustafa berkata, sistem NCDC itu dibangunkan, dipantau dan dikawal selia pusat yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah.
Katanya, data ini diguna pakai semua taska di Malaysia dan bermula dengan hanya 600 taska, penggunaan sistem ini kini meningkat kepada lebih daripada 5,000 taska.
“Sistem NCDC ini memberi fokus kepada pemantauan perkembangan kanakkanak sejak lahir sehingga berumur empat tahun yang berada di taska di negara ini.
“Kini, sistem NCDC ini berevolusi daripada tiga modul asas iaitu Modul Kanak-kanak, TASKA dan Pendidik kepada 11 modul utama yang bersesuaian dengan kepentingan kanakkanak secara menyeluruh seiring peningkatan pengguna,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini lebih daripada
81,000 data kanakkanak dan lebih 23,000 data kakitangan TASKA termasuk pendidik yang berjaya diprofilkan.
“Jumlah data yang besar itu sangat berharga dan bermanfaat bukan sahaja kepada agensi yang mengelolakan perkhidmatan taska, malah penyelidik yang terbabit secara langsung dalam bidang berkaitan awal kanak-kanak.
“Selaku penggubal dasar dan undang-undang negara, kerajaan Malaysia juga sentiasa beraspirasi ke arah kesejahteraan kanak-kanak di negara ini.
“Justeru, dengan lebih kurang 50 juta parameter data yang berjaya direkodkan, sistem NCDC ini adalah perintis kepada ‘Big Data’ dalam bidang awal kanak-kanak di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik NCDC dari Jabatan Komputeran Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Profesor Madya Dr Suzani Mohamad Samuri berkata, seiring aspirasi IR 4.0, sistem NCDC kini bergerak ke arah menggabungkan teknologi perlombongan dan visualisasi data dalam sistem bagi membudayakan Big Data Analytics (BDA), sekali gus membantu proses pembuatan keputusan yang lebih efektif dan berkesan.
“Melalui proses BDA ini, data mentah dapat ditransformasikan kepada maklumat yang lebih mudah dilihat, difahami dan digabung jalin dengan pelbagai aspek yang kritikal dalam memastikan perkembangan kanakkanak yang sejahtera dan menyeluruh.
“Dengan adanya sistem NCDC yang disokong teknologi ini juga, ia dapat mempengaruhi proses membuat keputusan daripada hanya berlandaskan andaian dan pandangan, kepada keputusan berdasarkan data dan fakta yang lebih tepat serta berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, modul Dynamic Data Mining yang mengandungi statistik umum berkaitan kanak-kanak, TASKA serta pendidik seluruh Malaysia berjaya dihasilkan berdasarkan daripada semua pengemaskinian data mentah yang dilaksanakan.