Harian Metro

Ada 1,127 kilang tak berlesen di Klang

-

Klang:

Status kilang haram dan kilang berlesen di Selangor yang berada di kawasan berisiko tinggi atau berkemungk­inan untuk mencemarka­n sungai tidak akan diputihkan.

Pengerusi Jawatankua­sa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkut­an Awam dan Pembanguna­n Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, semua kilang itu perlu berpindah ke tempat lain yang lebih sesuai.

“Kalau kilang itu terletak di rizab sungai, sudah tentu kilang itu kena pindah, malah bukan kilang tanpa kebenaran sahaja boleh mencemarka­n sungai, ini kita perlu jelas.

“Kilang berlesen juga ada kemungkina­n mencemarka­n sungai sekiranya mereka tidak mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (Jas).

“Jadi kami akan melihat perkara ini secara menyeluruh, kilang berisiko, itu tidak sesuai, kena pindah ke satu lokasi sesuai dengan mematuhi syarat khususnya alam sekitar,” katanya dalam sidang media selepas hadir Majlis Taklimat Program Pematuhan Syarat dan Penguatkua­saan Kilang Tanpa Kebenaran di Selangor di Majlis Perbandara­n Klang, di sini, semalam.

Menurutnya, kerajaan negeri akan menubuhkan satu jawatankua­sa khas untuk melihat isu itu bagi mengelak pencemaran sungai berlaku pada masa depan. “Fungsi utama jawatankua­sa khas ini adalah melihat masalah membabitka­n kilang di tepi sungai di mana kilang yang perlu dipindah, kena pindah, yang tanpa kebenaran atau haram itu kena roboh. “Kalau kilang itu sah, ada sijil layak menduduki, ada lesen, tetapi berisiko tinggi, kerajaan negeri akan fikirkan satu cara untuk mereka berpindah ke kawasan sesuai,” katanya. Bagaimanap­un, Ng berkata, jumlah keseluruha­n kilang yang berisiko itu belum dikenal pasti. Mengenai pemutihan kilang haram di Klang, katanya, beliau difahamkan 1,127 kilang tidak berlesen di daerah itu, tetapi hanya 395 kilang membuat pemutihan.

“Sebanyak 732 kilang belum menyerahka­n dokumen ke Pejabat Tanah Daerah untuk penukaran tanah dari pertanian ke industri, malah ada yang belum mengemukak­an rancangan bangunan untuk menghalalk­an struktur,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pemutihan kilang tidak berlesen sepatutnya berakhir pada 30 September ini, tetapi kerajaan negeri memanjangk­an tempoh itu selama tiga bulan lagi hingga 31 Disember ini.

“Ini peluang terakhir diberikan kepada kilang tidak berlesen untuk membuat pemutihan operasi kilang mereka mulai sekarang hingga Disember ini,” katanya.

Sebanyak 732 kilang belum serah dokumen ke Pejabat Tanah Daerah

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia