Harian Metro

Pertimbang cukai karbon

-

Kuala Lumpur: Malaysia mempertimb­angkan untuk mengenakan cukai karbon dalam pelaburan akan datang bagi menyokong agenda kelestaria­n sebagai usaha untuk menangani perubahan iklim.

Ketua Setiausaha Kementeria­n Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Zaini Ujang berkata, menurut Bank Dunia, cukai karbon secara langsung menetapkan harga pada karbon dengan menentukan kadar cukai ke atas pelepasan gas rumah hijau atau terhadap kandungan karbon dalam bahan api fosil.

Zaini, bagaimanap­un, tidak menghuraik­an lebih lanjut mengenai cadangan berkenaan.

Katanya, bagi menguruska­n risiko perubahan iklim, Akta Perubahan Iklim yang baharu juga mungkin akan digubal dalam masa terdekat, bergantung kepada pemahaman penggubal dasar dan permintaan daripada rakyat secara umum.

“Kita mungkin guna undang-undang sedia ada seperti Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bersama-sama dengannya (Akta Perubahan Iklim yang baharu),” katanya ketika Sidang Kemuncak Kelestaria­n Bumi Yang Lebih Sejuk 2020 di sini, kelmarin.

Ketika sesi bertajuk ‘Adakah Anda Bersedia? Peraturan-Peraturan Yang Sukar, Tetapi dengan Insentif’, Zaini mendedahka­n kerajaan sedang menyemak semula Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bagi meliputi perubahan iklim, kelestaria­n serta mandat pengurusan dan pelaporan gas rumah hijau.

“Buat masa ini, kita sedang merancang untuk mengkaji keperluan perundanga­n perubahan iklim.

“Jika kita memerlukan­nya, kita akan merangka peraturan berkaitan,” katanya sambil menambah bahawa ia akan merangkumi pelaporan sektor swasta dan instrumen ekonomi, mencontohi apa yang dilakukan di New Zealand, negara pertama di dunia yang menuntut pelaporan risiko iklim. – Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia