Ada lagi ingkar PKP!
63 individu dikompaun, dua lagi ditahan reman
Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin menahan 65 individu yang didapati melakukan kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 63 individu dikenakan tindakan kompaun, manakala dua lagi ditahan reman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk 35 individu yang tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi tanpa kebenaran (8), gagal mengamalkan penjarakan fizikal (7), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (7), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (4), individu masuk ke kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (3) dan seorang gagal membayar caj kuarantin.
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga
membuat 52,294 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 2,950 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan seramai 12,201 anggota membuat pemantauan di 3,380 pasar raya, 4,200 restoran serta 1,236 penjaja, 992 kilang, 3,436 bank dan 670 pejabat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata, turut dipantau, 926 terminal pengangkutan darat, 204 terminal pengangkutan air serta 149 terminal pengangkutan udara.
Pada masa sama, beliau berkata, 32 pendatang asing tanpa izin ditahan, kelmarin.
Katanya, turut ditahan empat penyeludup dan seorang tekong, manakala pihak berkuasa turut merampas sebuah bot serta tiga kenderaan darat.
“Sebanyak 91 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam (kelmarin) membabitkan PDRM (69 SJR), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) (10 SJR) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (12 SJR).
“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong-lorong tikus,” katanya.
Selain itu, Ismail Sabri berkata, 17 operasi sanitasi dijalankan di lima negeri kelmarin.
Katanya, tujuh operasi sanitasi awam dijalankan di Sabah, enam di Kedah, dua di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Pahang serta Melaka.
Beliau berkata, seramai 29 anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 267 anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit dalam operasi berkraan.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menjalankan 930 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati semua premis yang dipantau mematuhi SOP ditetapkan.