Harian Metro

CCRIS tak rekod peminjam moratorium bersasar

-

Kuala Lumpur: Institusi perbankan memberi jaminan peminjam yang layak menerima moratorium pinjaman bersasar dan fleksibili­ti pembayaran balik pinjaman tidak akan terpapar dalam laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) peminjam sepanjang tempoh bantuan kewangan yang dinikmati mereka itu.

Justeru, peminjam individu dan perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berdepan masalah dan terjejas akibat Covid-19 perlu segera menghubung­i dan berbincang dengan bank masing-masing bagi mendapatka­n moratorium bersasar dan fleksibili­ti pembayaran balik yang diperlukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, institusi perbankan memberi komitmen dan berusaha menghubung­i peminjam yang mungkin memerlukan bantuan.

Beliau berkata, setakat 11 September lalu, lebih dua juta peminjam dihubungi institusi perbankan untuk ditawarkan bantuan pembayaran balik.

Katanya, daripada jumlah itu, institusi perbankan berbincang dengan 1.4 juta peminjam dan lebih 380,000 peminjam mengesahka­n mereka memerlukan bantuan pembayaran balik manakala ramai lagi mempertimb­angkan opsyen bantuan yang disediakan.

“Daripada permohonan bantuan pembayaran balik pinjaman yang lengkap diterima dan diproses, 98 peratus diluluskan,” katanya pada sidang meja bulat bersama media dengan pengurusan tertinggi bank terpilih dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sini, semalam.

Mengulas mengenai proses permohonan, Abdul Rahman berkata, bagi pelanggan individu, proses permohonan dijangka mengambil masa satu hingga lima hari.

Bagi PKS pula, beliau berkata, proses permohonan dijangka mengambil masa tiga hari hingga dua minggu selepas permohonan lengkap diterima bank.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia