Harian Metro

Hati terpaut kerana budi

Wanita Melayu payung nenek India ketika beratur di bank undang reaksi positif

- Oleh Nurul Hidayah Bahaudin nurul.hidayah@hmetro.com.my

“Saya amat terharu apabila masih ada individu berhati mulia membantu insan lemah seperti nenek saya walaupun berlainan bangsa,” kata jururawat klinik swasta, M Privitha, 21.

Terdahulu, Privitha memuat naik status serta gambar seorang wanita Melayu memayungi neneknya, A Letchumi, 78, menggunaka­n fail ketika berbaris memasuki bank di Menglembu, Perak, kelmarin.

Status itu tular di media sosial dan mendapat banyak reaksi positif warganet dengan lebih 1,800 komen serta 23,000 perkongsia­n, semalam.

Menceritak­an semula peristiwa itu, Privitha berkata, neneknya ditemani sepupunya pergi ke bank untuk mengambil wang pencen jam 11 pagi.

Bagaimanap­un katanya, sepupunya tidak dapat menemani neneknya kerana menjaga dua anak kecil termasuk bayi berusia dua bulan di dalam kereta.

“Ketika nenek berbaris, sepupu saya lihat ada seorang wanita Melayu memegang fail untuk memayungi nenek. Difahamkan 30 minit nenek berbaris di luar bank berkenaan dan sepanjang tempoh itu, wanita berkenaan setia memayungin­ya.

“Namun, sepupu saya tidak sempat ucap terima kasih kepada wanita itu kerana dia tidak boleh meninggalk­an dua anaknya di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Privitha berkata, dia mengambil kesempatan sebagai tanda mengucapka­n terima kasih kepada wanita itu di Facebook dengan memuat naik gambar peristiwa berkenaan.

“Tujuan saya memuat naik status itu untuk mengucapka­n terima kasih serta penghargaa­n kepada wanita berkenaan kerana bertindak sedemikian.

“Sejujurnya, sukar untuk kita melihat kebaikan seseorang terhadap insan lemah seperti nenek saya apatah lagi berbeza bangsa dan agama walaupun apa yang dilakukann­ya mungkin perkara kecil,” katanya.

Mengulas status berkenaan yang tular, dia mengakui terkejut dengan reaksi warganet yang rata-ratanya memberi komen positif terhadap peristiwa itu.

“Ada banyak komen saya terima pada status berkenaan daripada individu pelbagai latar belakang bangsa.

“Malah, ada seorang wanita meninggalk­an komen pada status itu memaklumka­n dia adalah individu memayungi nenek saya,” katanya.

Sukar kita melihat kebaikan seseorang terhadap insan lemah seperti nenek saya apatah lagi berbeza bangsa dan agama” M Privitha

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia