Sampai hati tinggal mayat rakan
‘
Semua mereka berjaya dikesan jam 3.15 petang dan pemandu kereta yang cedera dibawa ke Hospital Dungun”
Baharudin
Dungun: Empat lelaki warga Bangladesh melarikan diri selepas seorang rakan mereka maut dalam kemalangan di Kilometer 89 Jalan Jerangau-Jabur, dekat Ladang Gajah Mati, Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS) di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi, kereta Perodua Kancil dinaiki lima sahabat terbabit terbabas di lokasi sebelum merempuh tiang elektrik.
Kejadian itu mengorbankan seorang rakan mereka dikenali sebagai Hasanuzzaman, 58, yang juga buruh binaan beralamat di Bandar Bukit Besi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, mangsa tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dan berjaya dikeluarkan anggota bomba yang dipanggil ke lokasi kejadian.
“Mangsa parah di bahagian kepala dan anggota badan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Ketika kejadian, kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Bandar Bukit Besi menuju ke AMBS sebelum terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.
Katanya, pihak polis mengenal pasti empat lagi rakan mangsa termasuk pemandu kereta berusia 24 hingga 50 tahun untuk membantu siasatan.
“Semua mereka berjaya dikesan kira-kira jam 3.15 petang dan pemandu kereta yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut manakala tiga rakannya hanya cedera ringan.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar AMBS, Penolong Penguasa Bomba Zul Husni Abdul Rahman berkata, seramai tujuh anggota dihantar ke lokasi bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.
“Anggota bomba mengambil masa selama 10 minit bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di antara tempat duduk dengan tiang elektrik,” katanya.